PUSA: Ekoran tragedi serangan buaya ganas yang mengorbankan Bentayan Ilah, 31, dari Kampung Hulu Tambak, Pusa pada 24 September lalu gerakan memburu pemangsa ganas itu membuahkan hasil petang semalam

Gerakan memburu buaya tersebut dilakukan oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Pihak SFC dalam kenyataannya menjelaskan buaya tersebut berjaya ditangkap menggunakan pancing berumpan ayam yang diletakkan di sepanjang lima kilometer Sungai Rimbas berdekatan lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Buaya berukuran 18 kaki panjang dan tiga kaki lebar itu dinaikkan ke darat dan dibelah perut di depan pegawai polis, keluarga mangsa serta penduduk kampung. Beberapa bahagian anggota badan manusia ditemui di dalam perut pemangsa tersebut.

“Anggota badan manusia yang ditemui dalam perut buaya itu diserahkan kepada polis untuk analisis deoxyribonucleic acid (DNA).

“Kita berharap pihak waris mangsa berpuas hati dengan kejayaan itu dan kita juga menyarankan kepada penduduk agar sentiasa berwaspasa ketika turun ke sungai,” ujar salah seorang anggota petugas terlibat.

Pada kejadian 24 September lalu itu, Bentayan bersama sepupunya sedang menangkap ikan di sungai berkenaan yang kemudiannya disambar buaya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan beberpa hari telah berjaya menemui cebisan usus, cebisan kaki, tangan kanan dan kepala mangsa.

Ketua Balai Polis Pusa, Sarjan Dolhan Chek yang dihubungi, turut mengesahkan tentang penangkapan buaya berkenaan dan memberitahu buaya betina terbabit berjaya ditangkap oleh pasukan terbabit pada jam 5 petang iaitu kira-kira 500 meter di kawasan hilir Sungai Kampung Tambak dekat sini. – Sarawakvoice