Wednesday, June 29, 2022

Perhimpunan Agung PBB lebih awal daripada PRU14, tidak akan berlaku pertindihan — Uggah

Secara Rawak

KUCHING: Pemangku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas yakin Perhimpunan Agung Tritahunan parti itu tidak akan berlaku serentak dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kita akan mengadakan perhimpunan pada Februari depan, dan jika ia serentak dengan PRU14, kita akan fikirkan kemudian penyelesaiannya,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta konvoi Kembara Batang Lupar 2017 di Hotel Pullman di sini pagi tadi.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Presiden parti, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengambil kira faktor itu sebelum menetapkan tarikh perhimpunan.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya juga sudah mula melaksanakan persiapan rapi untuk menjayakan perhimpunan agung pertama pada era pentadbiran Abang Johari ini dengan mesyuarat kedua dijadual dilangsungkan pada 30 Oktober depan.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa seramai 10 wakil daripada parti komponen, termasuk PBB akan hadir ke taklimat khas Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur esok, yang dikatakan ada kaitan dengan PRU14.

Mengenai senarai calon, beliau berkata ia kuasa pregrogratif Pengerusi BN Negeri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan telah dibincangkan dengan Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Namun belum ada keputusan muktamad,” katanya lagi sambil mengelak soalan tambahan.

PRU14 dijangka akan dilangsungkan pada suku pertama tahun depan, dipercayai selepas sambutan Tahun Baharu Cina. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru