SARIKEI: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Tapak Pesta Limau di Jeti Sungai Binatang, Bintangor pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya dimaklumkan akan insiden itu sekitar jam 1.07 petang tadi melalui Ibu Pejabat Polis Daerah Bintangor.

“Sejurus mendapat maklumat, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah bot alumunium diatur gerak ke lokasi bersama-sama sembilan anggota termasuk pasukan sukarela daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Bintangor.

Turut berada di lokasi ialah empat anggota polis dan sebuah bot.

Kejadian katanya, dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 pagi dengan mangsa merupakan kanak-kanak Cina yang kemudian dikenal pasti sebagai Wong Khoon Yung, 12 tahun, telah terjatuh tidak jauh dari pentas utama di jeti tersebut.

“Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan dan pasukan terlibat sedang menyusuri ke hulu Sungai Binatang sejauh 1 kilometer.

“Pusat Kawalan Bomba turut didirikan di lokasi kejadian,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice