Friday, September 30, 2022

Kadar tambang udara pada musim cuti menuju dan keluar dari Miri perlu murah

Secara Rawak

Tahun 2018 merupakan tahun melawat Miri dan ia adalah masa terbaik untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat Miri.

Bandar raya Miri perlu diberi peluang untuk diperkenalkan ke peringkat antarabangsa supaya lebih ramai pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di sini seperti Gua Niah dan Taman Negara Mulu.

Kami mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pusat agar membenarkan syarikat penerbangan mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di sini.

Syarikat penerbangan itu pula harus dapat mengembangkan lagi destinasi penerbangan terus dari Miri ke luar negara, seperti dari Miri ke Surabaya, Australia, New Zealand dan negara-negara Asia yang lain.

Lapangan Terbang Miri juga perlu dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa dan dewan berlepas perlu lebih selesa dengan kerusi yang lebih banyak sementara menunggu waktu berlepas.

Kita dapati pada waktu puncak, terdapat penumpang terpaksa berdiri sebelum mereka dapat masuk ke perut pesawat.

Musim perayaan dan cuti persekolahan juga merupakan peluang untuk ibu bapa membawa keluarga mereka melancong ke tempat peranginan sama ada di dalam atau ke luar negara.

Ketika in apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah, kita dapati harga tambang jauh lebih mahal berbanding biasa.

Sebagai contoh, syarikat penerbangan akan menaikkan harga tiket semasa musim perayaan menjadikan sukar untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Mereka yang mempunyai keluarga besar mungkin akan menjadi mangsa kerana terpaksa menangguhkan atau menggunakan perkhidmatan lain untuk tiba ke destinasi mereka.

Bagi yang terpaksa menggunakan perkhidmatan udara, terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk menempah tiket yang berpatutan untuk membawa keluarga bercuti atau pulang ke kampung.

Kami menggesa pihak berkenaan untuk mempertimbang akan cadangan untuk menurunkan kadar tambang semasa musim cuti untuk membolehkan orang ramai membawa keluarga mereka bercuti menggunakan perkhidmatan udara pada masa itu.

Secara tidak langsung ia mengalakkan lebih ramai keluarga keluar melancong di samping memberi lebih banyak pendapatan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Diharapkan pihak yang berkaitan dapat memberi perhatian masalah ini untuk memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan udara secara lebih selesa dan selamat sampai ke destinasi masing-masing.

* Jofri Jaraiee merupakan Pesuruhjaya PAS Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru