Monday, June 27, 2022

Janji bina rumah di Kelantan pasti ditunaikan – Hanafi

Secara Rawak

KOTA BHARU: Biarpun tidak memerintah negeri Kelantan, Barisan Nasional (BN) tetap menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu  untuk membina rumah mampu milik sebagaimana yang dijanjikan.

Menyedari keperluan untuk memiliki rumah yang semakin mendesak dalam kalangan rakyat Kelantan, kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM554.5 juta bagi melaksanakan enam projek perumahan kos rendah di negeri itu.

Antaranya di daerah Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang yang melibatkan masingmasing pembinaan 1,000 unit rumah.  Di Kota Bharu, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wakaf Mek Zainab yang bernilai RM188.6 juta sudah hampir 90 peratus siap yang menawarkan seribu unit rumah untuk diduduki. Setiausaha UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, pembeli hanya perlu membayar RM35,000 untuk setiap unit kediaman tersebut.

Ia selepas Kerajaan Pusat memperuntukkan subsidi lebih RM150,000 bagi semua unit rumah yang dijual.

“Satu perkara yang rakyat perlu tahu bahawa kita bina pelbagai jenis rumah yang kita janji kepada semua rakyat Kelantan (pada PRU13 lalu).

“Apabila kalah orang kata kita tidak buat tapi sebaliknya projek ini diteruskan walaupun BN tidak dapat bentuk kerajaan di Kelantan kerana ini adalah untuk rakyat,” katanya kepada e-Rakyat.

Selepas siap, seunit rumah PPR Wakaf Mek Zainab dianggarkan mencecah antara RM200,000 sehingga RM300,000.

“Setakat ini tidak ada projek khas untuk rakyat negeri ini kecuali buat usahasama dengan pihak swasta.

“Apabila ada kerjasama dengan pihak swasta, ada yang berjaya dan ada yang tidak,” demikian menurut Hanafi. Dalam memenuhi kehendak itu, kerajaan Pusat menghadapi masalah terutamanya tapak tanah daripada kerajaan negeri Kelantan.

“Angka peruntukan bina rumah rakyat di Kelantan sangat tinggi. Rakyat  sangat memerlukan rumah, terutama yang sudah bekeluarga.

“Permintaan sangat tinggi, tapi BN menghadapi halangan kerana tidak punya tanah yang sesuai, jadi sukar untuk BN bina rumah kepada yang memerlukan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru