Tuesday, May 11, 2021

Brexit, referendum Catalonia, Kurdis merdeka, belum tentu janjikan dunia lebih baik

Mesti baca

PELABUR legenda George Soros memperingatkan pada akhir Jun lepas bahawa Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah) merupakan solusi “lose-lose”.

Keadaan ini menjebak Britain dalam lingkaran hutang kerana perbelanjaan isi rumah kian meningkat, sementara perbelanjaan pengguna melemah dan standard kualiti hidup menurun.

Tokoh sekaya AS$25 bilion terkenal sebagai “Man Who Broke The Bank Of England” itu pernah menjatuhkan nilai poundsterling dalam krisis Black Wednesday 1992 serta pernah dituduh menjahanamkan ekonomi Asia Tenggara 1997.

Ekonomi Britain Merudum Pasca-Brexit

Pendek kata ekonomi Britain merudum pascaundian Brexit dan mencetuskan keadaan buruk.

Justeru, selepas Brexit Perdana Menteri Theresa May harus mengubah taktik mendekati perbincangan lanjut Brexit yang meninggalkan luka tersendiri dengan Eropah.
Malah, majoriti undian May di Parlimen Jun lepas terkikis pasca-Brexit.

Brexit tidak sama dengan referendum merdeka, tetapi hal penting di sini ialah apa pun perubahan yang diambil ia menatijahkan “sesuatu” hal yang lain, sama seperti ketika ia bermula dahulu.

Sepanyol Haramkan Referendum Catalonia

Di Sepanyol,Catalonia menuai hasil referendum kemerdekaan hasil pengundian awal Oktober dengan kekerasan.

Hakim Sepanyol akhirnya mengarahkan agar tahanan dikenakan terhadap Jordi Sánchez yang memimpin Majlis Nasional Catalan (ANC) dan Jordi Cuixart pemimpin Omnium Cultural.

Kedua-duanya merupakan tokoh menonjol menyelenggara referendum kemerdekaan 1 Oktober lepas bagi Catalonia.

Referendum berakhir dengan kekerasan oleh pihak polis dan Kerajaan Pusat Sepanyol di Madrid menganggap referendum itu sebagai tidak sah.

Selepas referendum, ketua pemerintahan Catalonia Carles Puigdemont menandatangani deklarasi kemerdekaan, namun menunda pelaksanaannya demi mencadangkan rundingan diplomasi.

Puigdemont meminta dilakukan rundingan dalam tempoh dua bulan ke depan, namun, kerajaan Sepanyol memperingatkan Catalonia harus menarik semula deklarasi tersebut.

Jika tidak, Sepanyol sedia mengambil alih semula Catalonia yang selama ini menikmati autonomi penuh, untuk diperintah langsung oleh kerajaan pusat Sepanyol.

Puigdemont mengecam Sepanyol kerana  menahan Sánchez dan Cuixart.

“Menyedihkan, kita kembali memiliki tahanan politik,” tulis Puigdemont di akaun Twitter.
Menurut BBC, kalangan prokemerdekaan menyeru dilakukan demonstrasi lebih lanjut, menuntut pembebasan kedua-dua tokoh tersebut.

Referendum Catalonia tidak selurus dan semudah difikirkan. Akhirnya Catalonia memunda pengisytiharan kemerdekaannya.

Iraq Jawab Referendum Merdeka Kurdis dengan Hantar Tentera ke Kirkuk

Di Teluk, Iraq bertindak balas ke atas kumpulan Kurdis yang menuntut referendum kemerdekaan dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan Kurdistan.

Bukan sekadar Iraq, Turki dan Iran turut gusar dengan kenekadan perjuangan kumpulan Kurdis yang dapat menimbulkan krisis terbaru di Teluk.

Kini, tentera Iraq merebut kota minyak Kirkuk yang dikuasai oleh kumpulan Kurdis pada Isnin.

Tindakan itu dilakukan sebagai jawapan serta respons atas tuntutan referendum kemerdekaan yang dianggap menggoncang keseimbangan Iraq kebelakangan ini.

Menurut Reuters, sebuah konvoi kereta kebal Pasukan Kontraterorisme Elit Iraq yang dilatih Amerika Syarikat merebut semula pejabat pusat kerajaan wilayah Kirkuk dalam tempoh kurang sehari.

Organisasi bantuan di Kirkuk menyatakan sejumlah pasukan Peshmerga Kurdis dan anggota tentera Iraq terkorban dalam pertempuran pada Isnin di selatan Kirkuk.

Sementara, ketika pasukan Iraq bergerak, operator Kurdis menutup dua telaga yang memproduksi 350,000 tong minyak sehari.

Namun, operasi berjalan semula selepas Iraq mengancam merebut kilang minyak daripada pengurusan Kurdis.

Pertempuran Baghdad-Kurdis dapat mencetuskan semula perang saudara dalam konflik yang berlangsung 14 tahun.

Presiden Donald Trump mengatakan Amerika Syarikat tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam pertempuran ini.

Selama ini, AS mempunyai hubungan baik dengan Kurdis dan juga Iraq dalam sama-sama menghadapi ISIS.

Jadi, di mana dunia dikatakan menjadi lebih baik selepas Brexit, referendum Catalonia dan kemerdekaan Kurdis? – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru