Tuesday, December 6, 2022

Bukan gimik, Jamal kini jamu 1,000 orang makan tengah hari percuma setiap hari

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Daripada banyak gimik atau kontroversi yang sengaja dicetuskan oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos, idea makan percuma tengah hari di restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang, paling “menarik” untuk memahami semula watak sebenar Jamal.

Bermula Isnin lepas, Jamal Pengerusi Gerakan Baju Merah bersama rakan NGO lain mengalu-alukan warga kota singgah makan percuma di restoran setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

Sebelum ini pada September, Jamal Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mewar-warkan promosi makan percuma tengah hari ini di Facebook beliau, untuk berlangsung selama tiga tahun.

Menurut Malaysia Dateline, sejam selepas restoran di buka 11 pagi, dianggarkan 100 orang hadir menikmati makan tengah hari.

 

Antara lauk yang dihidangkan pada hari pertama ialah ayam masak merah, ikan goreng bercili, sayur kubis masak lemak, acar timun, nanas, jagung rebus, sirap, air sejuk dan teh o panas.

Idea Jamal kali ini memikat hati kerana tetamu yang hadir menikmati makan tengah hari percuma terdiri daripada pelbagai peringkat tanpa mengira fahaman politik mahupun kaum.

Jamal turut melayan hadirin sambil mempelawa mereka makan sampai kenyang dan mengingatkan agar mereka mencuci pinggan  selepas makan agar dapat digunakan oleh orang lain.

Menurut Jamal beliau menyediakan makanan untuk menu tengah hari dengan kos RM5 sepinggan hidangan rakyat dengan menjangkakan 1,000 orang hadir dari 11 pagi hingga 3 petang ini.

Ini bermakna, Jamal melalui peruntukan termasuk sumbangan orang ramai mengeluarkan kos RM5,000 sehari atau sekitar RM100,000 sebulan yang keseluruhannya berjumlah lebih RM3 juta untuk tiga tahun.

Turut hadir pada program makan tengah hari percuma hari pertama tersebut ialah Pengerusi Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Rani Kulup yang dijuluki dengan panggilan Ayah.

Ayah memuji usaha Jamal sebagai baik dan berkata, “saya harap orang ramai yang rasa mereka tak cukup duit nak makan datang saja di sini, tiap hari pun tak menjadi masalah kerana apa yang Jamal dan rakan-rakan NGO buat adalah untuk mereka.”

Jamal turut mengumumkan beliau akan membuka sebuah lagi restoran yang mempunyai konsep makan percuma tengah hari di Sekinchan pada 25 November ini.

Sebelum ini Jamal terkenal dengan gimik suka “menyakat” pentadbiran kerajaan Selangor, antaranya mengusung keranda hingga isu memakai tuala mandi serta memecahkan botol arak.

Tterkini, beliau mahu menjual ikan murah pada Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, walaupun beliau membatalkan hasrat tersebut pada saat akhir. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru