Thursday, December 9, 2021

Remaja karam ketika mencari ketam terus dicari — Maritim Malaysia

Secara Rawak

LUNDU: Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Kuching (DM 11)  mempertingkat usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Kuala Sungai Sampadi apabila menerima maklumat bahawa mangsa berkemungkinan hilang dan hanyut berhampiran Pulau Satang Besar.

Menurut jurucakap agensi tersebut, dengan mengambil kira keadaan cuaca serta angin di lokasi kejadian, kawasan operasi SAR diperluas lagi semalam dengan meliputi kawasan seluas 540 batu nautika persegi.

“Maritim Malaysia DM11 telah menggerakkan dua aset iaitu kapal KM Siagut dan sebuah Bot Kilat 22, dengan dibantu empat aset laut lain daripada pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, mangsa belum lagi ditemui.

Mangsa, seorang remaja lelaki dikenal pasti sebagai Mohd Azimudin Alwi, berusia 15 tahun, dilaporkan hilang dan hanyut di Sungai Kuala Sampadi setelah bot yang dinaiki beliau dan rakan terbalik dan karam semasa mencari ketam pada 13 Oktober lalu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii memberitahu, pihaknya dan  APM menjalankan pencarian dari Pulau Sampadi menuju ke Pulau Satang, sehingga ke lokasi terakhir bot mangsa dikhuatiri karam.

“Operasi turut dibantu penduduk kampung yang menggunakan bot persendirian,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru