KABONG: Seorang nelayan dari Kampung Gerigat dekat sini hilang ketika berada di laut malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Abu Sahir Salleh berusia 41 tahun keluar dari rumah pada jam 1 pagi (17 Oktober) untuk menangkap ketam di laut berhampiran Kampung Gerigat.

Isteri mangsa Nancy Sidek,35, dari Kampung Gerigat memberitahu suaminya telah keluar dari rumah sorang diri dengan bot nelayan miliknya.

Menurut Nancy lagi, suaminya itu berasal dari Sungai Pinyuh Singkawang Indonesia dan telah 10 tahun menetap di kampung tersebut sejak mereka berkahwin.

“Awal pagi adik saya dan beberapa rakannya telah turun ke laut untuk mencari suami saya tetapi tidak berjaya menjumpai suami saya.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap suami saya maka saya terus membuat laporan polis untuk meminta bantuan,” ujarnya.

Laporan dibuat isteri mangsa dibalai polis kabong kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi .

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seterusnya dilakukan oleh pihak polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Rela dan penduduk kampung bemula jam 3 petang tadi.

Setakat berita ini ditulis kira-kira jam 4 petang mangsa masih belum dijumpai. – Sarawakvoice