Maruah FAS masih utuh, masih mampu bayar gaji pemain

0
5

KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menafikan dakwaan sebuah portal laman sosial bahawa Sarawak meminta bantuan “pihak luar” untuk menyelesaikan masalah gaji pemain dan pegawainya.

Presidennya, Dato Posa Majais menegaskan, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.

“Saya yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam apa sahaja yang berlaku dalam pengurusan persatuan.

“Persatuan masih lagi mempunyai maruah daripada meminta bantuan pihak luar dalam menyelesaikan masalah gaji pemain dan pegawai pasukan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tegas Posa, isu pembayaran gaji bukanlah isu yang besar kerana beliau sendiri secara peribadi banyak membantu biarpun mengakui terdapat sedikit kelewatan.

“Sepanjang memegang tampuk kepimpinan FAS, isu pemain dan pegawai tidak menerima gaji tidak timbul sama sekali.

“Oleh itu, saya mengharapkan pihak yang membuat spekulasi liar memberhentikan tindakan mereka dan jangan mempercayai mana-mana kenyataan yang bukan dikeluarkan oleh FAS.

Fokus persatuan ketika ini katanya, adalah untuk membangunkan sukan bola sepak Sarawak secara total dan menyempurnakan misi terakhir menentang pasukan T-Team pada 28 Oktober kelak.

“Diharapkan semua pihak terus memberi sokongan kepada pasukan Sarawak yang kita sayangi,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Gambar fail