Saturday, December 3, 2022

“Where Borneo Begins” poskod 94111, angkat Telok Melano destinasi pilihan pelancong

Secara Rawak

RUMAH Api Tanjung Datu menjadi simbol terkini kedaulatan Sarawak dan Malaysia yang diabadikan sebagai “Where Borneo Begins”.

Di sini tercatat poskod khas 94111 yang diiktiraf Malaysia Book of Records.

Projek rumah api dijayakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Pos Malaysia, bertujuan memperkukuh kedaulatan Sarawak dan Malaysia.

Projek ini turut mensejahterakan rakyat melalui naik taraf perkhidmatan pos luar bandar dan projek pos di bawah Program Komuniti Pintar serta projek pos pelancongan.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Jailani Johari, Posmen Komuniti memberi perkhidmatan di Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang.

Ini bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan perkhidmatan pos lebih baik seiring pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo bakal siap 2020, turut menghubungkan Sematan-Telok Melano.

Peti Pos Tertinggi, Pos Dasar Laut dan  Pos Taman Laut

Sebelum ini, beberapa projek pos pelancongan dilaksanakan di Gunung Kinabalu iaitu pos pada ketinggian 4,000 meter yang disahkan sebagai peti pos tertinggi di Malaysia.

Selain itu, terdapat pos dasar laut dengan nombor poskod 88005 pada kedalaman 40 meter dari permukaan laut di Pulau Layang-Layang, 300 kilometer dari pantai Sabah bermula Ogos 2015.

Dua posmen ditugaskan memungut poskad kalis air dari peti pos dasar laut itu.

Pada Ogos 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melancarkan poskod khas 86888 bagi kepulauan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) di Pulau Besar Mersing.

Pentingnya tanda aras bagi poskod ini ia turut menjadi penanda bagi keletakan tapak penting yang biasanya terletak berhampiran sempadan.

Tanjung Datu Daulatkan Sarawak

Di Tanjung Datu, mantan ketua menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebelum menghembuskan nafas terakhir mengimpikan mengangkat kawasan ini sebagai destinasi terkenal.

Adenan meminta Lundu, Sematan dan Telok Melano dibangun menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak.

Tanjung Datu pernah mendapat 600 projek dengan kos RM1.3 bilion.

Kerajaan Persekutuan turut sedia menggunakan lebihan peruntukan membina jalan raya Telok Melano-Sematan digunakan untuk turut membina jalan memasuki kampung sekitarnya.

Pembinaan jalan raya masuk kampung itu mampu membawa manfaat kepada penduduk.

Sebelum ini, Telok Melano hanya dapat diakses melalui jalan laut dan ia menjadi terpulau pada pada musim tengkujuh, akibat gelora Monsun Timur Laut.

Kini, awal 2019 jalan Telok Melano-Sematan dijangka menjadi singkat dan selamat dengan siapnya jalan darat sepanjang hampir 33 kilometer menyambung dua lokasi tersebut.

Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menambah kos RM580 juta membina laluan tambahan ke Telok Melano ini atas permintaan Allayarham Adenan.

Telok Melano terletak bersempadan dengan Indonesia, justeru pembinaan jalan raya berkenaan pasti mengubah kehidupan 54 keluarga terdiri daripada 300 warganya terdiri daripada petani, pekebun lada hitam, penoreh getah dan nelayan.

Bahkan, sebagai hab pelancongan Telok Melano mampu menyediakan lokasi pelancongan dengan keindahan pantai dan hasil makanan lautnya yang segar.

Penduduk Teluk Melano tidak lagi terpisah dari segi prasarana jalan raya serta kemudahan mengakses perhubungan digital yang lebih baik selain dapat memanfaatkan kemudahan internet untuk keusahawann di Telok Melano.

Pembinaan dua menara telekomunikasi di Kampung Telok Serabang dapat membawa kemajuan pesat kepada pembangunan kawasan berkenaan.

Dunia Akan Tahu Letak Telok Melano — Jamilah

Pentingnya menggambarkan Telok Melano dalam Tanjung Datu ini sebagaimana digambarkan oleh Jailani bahawa program kedaulatan Rumah Api Tanjong Datu merupakan projek serampang dua mata selain menjadi ikon pelancongan.

“Ia bertujuan memperkukuh kedaulatan Sarawak dan Malaysia di kawasan strategik di mana bermulanya Borneo,” kata Jailani semasa melancarkan Program Kedaulatan Tanjong Datu dan merasmikan Menara Telekomunikasi Kampung Telok Serabang di Kampung Telok Melano minggu lepas.

Anggota Dewan Undangan Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu yakin pelancaran program kedaulatan Tanjong Datu bakal menempatkan Telok Melano di mata dunia.

Dunia akan tahu di mana letaknya Telok Melano walaupun kedudukannya agak jauh di pedalaman namun mempunyai kemudahan alamat dan perkhidmatan pos setanding kawasan luar bandar lain.

Prasarana, kemudahan telekomunikasi dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bakal mengubah landskap Telok Melano apabila siap sepenuhnya sebelum 2020.

Telok Melano yang memiliki laut cantik, air biru, keindahan pantai dan masih banyak ikan akan menjadi pilihan dan daya tarikan pelancong. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru