Lubok Antu Memilih: Nyalau Gugur, Berkompromi?

0
17
Foto Tripadvisor
Dr Awang Azman Awang Pawi

Ketika ini Parlimen Lubok Antu merupakan kerusi parlimen ke-2 panas selepas kerusi parlimen Selangau. Kedua-dua kawasan ini di bawah Parti Rakyat Sarawak (PRS).  PRS mempunyai enam buah kerusi Parlimen,iaitu Julai (Datuk Joseph Salang Gandum), Selangau (Datuk Josep Entulu), Sri Aman (Datuk Masir Kujat), Kanowit (Datuk Aarong Ago Dagang), Lubok Antu (Datuk Willian Nyalau) dan Hulu Rajang Ugak Kumbong).

Kerusi ini dianggap panas kerana William Nyalau dikatakan bakal digugurkan dalam pilihan raya umum akan datang. Desas-desus pengguguran beliau sudah lama berkumandang, namun pada suatu peringkat William Nyalau dikatakan masih berminat dan akar umbinya masih kuat memberikan sokongan padu.

Buktinya, 21 tuai rumah di Batang Ai Hilir dan Skrang menyokong kuat pencalonan semula Nyalau. Mereka menolak  orang luar untuk bertanding di kawasan parlimen tersebut. Pendirian ini disampaikan oleh ahli DUN Engkilili, Dr Johnichal Rayong ketika perhimpunan meluahkan sokongan terbuka di Rumah Imau Sudin.

Terdapat ribuan lagi pengundi berdaftar mewakili suara akar umbi masih mahukan Nyalau terus kekal dan permintaan ini bukan sahaja oleh komuniti rumah panjang dalam memberikan sokongan kepada pengekalan Nyalau, malah juga komuniti Cina yang disampaikan oleh Ketua Komuniti Cina Kapitan Tay Choo Ming yang mewakili masyarakat Cina  Lubok Antu.

Foto Facebook

Strategi parti dan politik naungan

Namun difahamkan pihak kepimpinan tinggi PRS sudah membuat persetujuan  dengan penyandang, penggunduran tersebut akan digantikan dengan tawaran pelantikan sebagai senator. Tawaran pelantikan senator tersebut dikatakan akan melunakkan pengguguran tersebut. Persetujuan dikatakan meliputi juga untuk akur dalam  membantu menjernihkan suasana berkempen membantu calon baru yang akan bertanding di Lubok Antu.

Sekiranya, rancangan ini berjalan lancar menurut sumber dalaman tersebut, tempat tersebut bakal diisikan oleh Datuk Sri Doris Sophia Brodie, iaitu Ketua Wanita PRS yang pernah menjadi senator dan pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.

Nafi tapi Ya?

Namun ketika perasmian mesyuarat tahunan PRS di bahagian Pakan, Doris menafikan beliau mempunyai rancangan atau cita-cita menjadi calon. Menurut beliau  di sebalik  itu,  beliau bersetuju sekurang-kurangnya satu kerusi PRS perlu meletakkan calon wanita pada pru akan datang, dan ia tak semestinya dia kerana menurut beliau PRS ramai etnik wanita Iban yang berkelayakan.

Antara nama calon wanita PRS yang berkelayakan termasuklah Dr Lucy Sebli lulusan Phd di University Hull, United Kingdom yang aktif dalam isu kebajikan wanita termasuk ibu tunggal dan pendidikan di luar bandar. Beliau ialah ahli akademik di jabatan politik dan pentadbiran awam di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Nama Dr Lucy dikatakan antara calon wanita PRS yang berpotensi.

Ramai lagi senarai wanita Iban yang layak dicalonkan jika ada ketinggian keazaman politik kepimpinan tertinggi PRS.

Rancangan Alternatif

Adakah persetujuan yang dikatakan  di antara Nyalau dan pimpinan tertinggi  PRS tersebut akan mampu bertahan hingga PRU akan datang? Sebelum ini terdapat desas-desus politik, kononnya Joseph Entulu ditawarkan jawatan duta di Amerika Selatan sebagai pertukaran memberikan laluan kepada calon baharu di Selangau. Namun tawaran tersebut ditolak oleh Joseph Entulu.

Adakah situasi ini bakal berlaku juga di Lubok Antu? Didapati, sekiranya, rancangan menempatkan wanita bertanding itu bertanding tidak berjaya maka terdapat  khabar politik  kononnya Malcom Mussem Lamoh, iaitu Adun PRS di  Batang Aii,  akan bertanding di parlimen Lubok Antu ini.

Malcom ialah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan. Perkara ini bukanlah luar biasa dalam budaya politik PRS. Sebelum ini pernah berlaku Datuk Joseph Ikeh yang pernah menjadi ahli parlimen Selangau selama tiga penggal sejak 1990, kemudian digantikan oleh Datuk Joseph Entulu pada PRU 2004.  Joseph Mauh pula mengambil alih kerusi DUN di Tamin.

Pertembungan di Lubok Antu

Namun sejauh manakah penerimaan penduduk tempatan terhadap pencalonan baru ini? Kerusi parlimen Lubok Antu yang sedang disandang kali kedua oleh Nyalau. Pada pilihan 2013, William Nyalau berjaya menewaskan Larry Sng dengan memenangi lebih 50 peratus undi. Larry Sng dikenali sebagai musuh politik James Masing yang sentiasa menjadi igauan politik PRS kerana Larry Sng pernah menyertai parti PRS suatu ketika dahulu.

Larry dan ayahnya pernah bersama-sama membantu penubuhan PRS, akan tetapi  dipecat pada tahun 2007 kerana mencabar kepimpinan tinggi parti. Kesannya, beliau tidak dipilih semula untuk mempertahankan kerusi DUN Pelagus yang telah beliau memenangi pada tahun 2001 dan 2006. Larry membentuk parti sendiri namun parti tersebut tidak ada memenangi sebarang kerusi.   Penyertaan Larry dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 dianggap usaha untuk kembali berpolitik namun gagal.

Namun,  dijangka Larry  tak akan bertanding di Lubok Antu pada PRU akan datang.  Pada PRU akan datang, kewujudan calon bebas tidak dapat dielakkan  dan boleh memecahkan undi. Kecualilah calon bebas itu berpersonaliti tinggi, popular dan mantan orang BN kemungkinan akan ada lawan politik. Sekiranya  tidak  mempunyai kriteria  tersebut, calon Bebas akan hilang wang deposit.

Apa pun, perlawanan sebenar dijangka di antara PKR dan PRS di Lubok Antu. – Sarawakvoice