Tuesday, May 11, 2021

Israel, AS keluar Unesco, ancaman atau provokasi?

Mesti baca

ISRAEL dan Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan secara beriringan menarik diri daripada Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (Unesco) berkuat kuasa 31 Disember 2018.

Berita Xinhua melaporkan, alasan Israel keluar Unesco kerana mendakwa pertubuhan itu cenderung kepada anti-Israel dan berat sebelah terhadap Tel Aviv.

Menjadi perhatian di sini ialah apa pula kaitan penarikan diri AS dengan dakwaan Unesco anti-Israel?

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memuji tindakan AS sebagai “keputusan berani dan bermoral.”

Israel yang akan menarik diri pada tarikh sama menuduh Unesco tidak bersikap memelihara warisan sejarah sebaliknya memutarbelitkannya dan mengemukakan idea yang berlawanan.

Dipercayai, salah satu sebab Israel tidak berpuas hati dengan Unesco kerana badan itu mengiktiraf Hebron, sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki sebagai tapak warisan dunia berada dalam “Negara Palestin.”

Pada Oktober 2016, Israel menggantung hubungannya dengan Unesco selepas pertubuhan berkenaan mengundi memihak kepada resolusi berkaitan keganasan yang memuncak di Baitulmuqaddis.

Israel juga kecewa dan menuduh Unesco menafikan kaitan rejim Yahudi itu dengan Temple Mount.

Tiga Faktor AS Keluar Unesco

Jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert dalam kenyataannya menjustifikasikan keputusan AS keluar dari Unesco atas tiga sebab iaitu faktor kebimbangan AS dengan penambahan tunggakan di Unesco, perlunya pembaharuan dalam pertubuhan Unesco serta dan sentimen anti-Israel yang berterusan dalam badan Unesco.

AS menurut beliau, selepas itu hanya akan menjadi pemerhati bukan anggota dalam Unesco.

Alasan penarikan AS dari Unesco atas alasan “sikap anti-Israel” Unesco menggambarkan betapa prihatinnya AS selama ini dengan rejim zionis itu di Timur Tengah.

Kenyataannya, AS memang menyayangi Israel.

Selama ini, dunia tahu bahawa Israel ialah “anak emas” AS di Timur Tengah.

AS sentiasa sensitif dengan apa jua isu yang berlaku ke atas Israel.

Sementara, ada banyak isu dan perkara yang tidak diselesaikan di Timur Tengah ekoran persekongkolan kedua-dua negara itu dan ia tidak lihat pula sebagai anti-Arab.

Keputusan nekad Washington kali ini menjadi dilihat sebagai penutup selepas bertahun-tahun menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Unesco.

Sebelum ini, bukan rahsia bahawa AS pada pentadbiran Ronald Reagan pernah meninggalkan organisasi yang mempunyai 195 anggota itu.

Ketika itu, AS mendakwa berlaku salah urus kewangan dalam Unesco selain terdapat polisi anti-Amerika dalam badan milik PBB itu.

AS kembali menyertai Unesco pada 2002, namun pada 2011 Presiden Barack Obama menghentikan pembiayaan Unesco selepas anggotanya mengundi menerima Palestin sebagai anggota.

Tidak Boleh Anti-Israel, Tidak Boleh Pro-Palestin

Di mata AS dan Israel, logiknya Unesco harus dilihat jangan bersikap anti-Israel ataupun anti-AS, dan pada masa yang sama Unesco juga tidak boleh pro-Palestin.

Washington ternyata menolak sebarang tindakan oleh agensi PBB itu untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Inilah antara punca pergolakan Timur Tengah berkaitan isu Israel tidak pernah diselesaikan.

Israel selalu “menguatkan” puncanya di Timur Tengah, AS di barat pula bersikap “meneguhkannya”.

Amerika kini berhutang AS$550 juta dengan Unesco, namun Nauert menegaskan undang-undang AS melarang kerajaan membayar yuran keanggotaan kepada organisasi yang menyokong kewujudan Palestin.

Tidakkah polisi itu bunyinya “anti” kepada sebuah kerajaan?

Israel dalam kenyataannya memuji Donald Trump yang dianggap mempunyai “pendirian bermoral”.

Trump ketika mengambil keputusan menarik diri dari Unesco menuduh badan itu semakin mengarut selepas berlaku beberapa resolusi mengecam Israel, termasuk Tel Aviv sebagai penjajah di Baitulmaqdis.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu nekad mengikut jejak langkah AS dan sudah mengarahkan Kementerian Luar membuat persiapan untuk Israel keluar dari Unesco bersama AS pada tarikh yang sama Disember tahun depan.

Permainan Israel dan AS ini mudah dibaca kerana sikap “sehati sejiwa” mereka selama ini.

Suntikan Perjuangan Dalam Perpaduan Hamas-Fatah

Kini, perpaduan pergerakan Hamas dan Fatah di Palestin memberi kekuatan baru kepada perjuangan Palestin di Timur Tengah.

Semangat Hamas-Fatah terbaru ini berbahaya kepada Israel ketika Unesco turut mengiktiraf Hebron sebagai tapak warisan dunia berada dalam “negara Palestin”, pada masa sama perkaitan rejim Israel dengan Temple Mount dinafikan oleh Unesco.

Sementara, Xinhua melaporkan pada Jumaat, penarikan diri AS daripada Unesco mengecewakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Guterres dalam kenyataan pada Khamis berkata, “saya kecewa dengan perkembangan terbaharu itu, memandangkan AS memainkan peranan utama di Unesco sejak penubuhannya.”

Ketua Pengarah Unesco Irina Bokova, turut melahirkan kekecewaan dengan keputusan AS itu dan menganggapnya sebagai satu kehilangan kepada Unesco.

Tarikh penarikan diri dari Unesco pada 31 Disember 2018 itu masih bertempoh 14 bulan lagi.

Ada banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh setahun lebih ini.

Adakah sikap “penarikan” kedua-dua negara yang berasa terlalu berkuasa ini merupakan satu ancaman atau provokasi kepada 193 lagi negara yang banyak berada dalam Unesco.

Sekiaranya Unesco bertukar kepimpinan, membetulkan sikap tidak lagi dilihat anti-Israel, malah lunak Israel, maka akan berlakukah kedua-dua mereka ini menarik semula keputusan tersebut? – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru