Mantan Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang kini bersama DAP menyatakan Lim Kit Siang memenuhi kriteria untuk menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan Zaid turut disokong oleh Dr. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP. Menurut Ramasamy, Lim Kit Siang ialah calon terbaik Perdana Menteri.
Kit Siang mempunyai semua kualiti pemimpin agung, kata Ramasamy. Tambah beliau lagi, kerana Kit Siang jugalah maka Pulau Pinang dan beberapa negeri lain jatuh ke tangan pembangkang semasa PRU-12 dan PRU-13.
DAP terkenal kerana kononya sentiasa memperjuangkan nilai-nilai demokrasi. Zaid yang dahulunya pemimpin UMNO dan Ramasamy yang berlatarbelakangkan dunia akademik menyertai DAP kerana ciri demokrasinya.
Kepada pendukung perjuangan demokrasi, kenyataan Zaid dan Ramasamy menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah betul mereka menghayati prinsip demokrasi atau mereka memperjuangan kepentingan peribadi masing-masing?
Zaid umpamanya, diketahui umum sedang mengintai peluang untuk bertanding atas tiket DAP. Ramasamy pula hanyalah Timbalan Setiausaha Agung yang dilantik dan akan kembali bertanding dalam pemilihan ahli jawatankuasa pusat DAP November ini.
Adakah kerana mahu menjadi calon PRU-14 dan jawatan dalam parti maka penasihat DAP dan Ketua Parlimen DAP perlu dilambung begitu tinggi sehingga layak menjadikan beliau layak sebagai Perdana Menteri?
Dari kaca mata liberalis dan demokratik, Lim Kit Siang tidak ada langsung ciri-ciri pemimpin demokrat. Contoh yang paling ketara ialah Lim Kit Siang telah menjadikan ahli parlimen sebagai kerjaya seumur hidup. Hal ini bertentangan sama sekali dengan prinsip demokrasi.
Di bawah ini diberikan tahun PRU dan kerusi parlimen yang beliau bertanding.
1969 Bandar Melaka, Melaka
1974 Kota Melaka, Melaka
1978 Petaling Jaya, Selangor
1982 Kota Melaka, Melaka
1986 Tanjong, Pulau Pinang
1990 Tanjong, Pulau Pinang
1995 Tanjong, Pulau Pinang
1999 Bukit Bendera, Pulau
Pinang
2004 Ipoh Timur, Perak
2008 Ipoh Timur, Perak
2013 Gelang Patah, Johor
Sehingga PRU-13, Lim Kit Siang telah bertanding sebanyak 11 PRU, dan 10 kali menjadi ahli parlimen (sekali kalah semasa PRU 1999 di Bukit Bendera, Pulau Pinang).
Memang betul, undang-undang di Malaysia tidak meletakkan had berapa kali seseorang itu boleh bertanding bagi kerusi parlimen.
Namun begitu, sebagai sebuah parti yang mendukung demokrasi, prinsip asas demokrasi, iaitu memberi peluang kepada anggota masyarakat untuk menjadi ahli badan legislatif perlu dijunjung.
Jika dihadkan tempoh seseorang individu hanya boleh menjadi ahli parlimen sebanyak dua penggal, Lim Kit Siang setakat ini telah menafikan sebanyak empat orang ahli DAP daripada bertanding dan menjadi ahli parlimen.
Justeru, Zaid dan Ramasamy sepatutnya menggesa Lim Kit Siang bersara daripada politik dan lupakan hasrat untuk bertanding pada PRU-14. Berilah peluang kepada anggota DAP yang lain pula untuk menjadi calon, dan seterusnya menjadi ahli parlimen sekiranya menang. – Sarawakvoice