Tuesday, May 11, 2021

Masih ada warga S’wak percaya, terpedaya sindiket tipu parcel scam?

Mesti baca

KECANGGIHAN dunia teknologi dan digital termasuk internet menjadikan manusia begitu terpesona, mudah berurusan termasuk mudah ditipu?

Di Malaysia, peningkatan ketara kes jenayah komersil bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini mengakibatkan kerugian RM4.33 juta, berbanding RM1.77 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kes penipuan Macau Scam mencatatkan jumlah kerugian tertinggi RM1.7 juta dengan jumlah 84 kes dalam tempoh Januari-Ogos tahun ini berbanding RM158,736 dengan 22 kes pada tempoh sama tahun lepas.

Modus operandi kes penipuan ini ialah suspek menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.

Menurut polis, mangsa kemudian diarahkan untuk memindahkan wangnya sebagai langkah keselamatan ke satu akaun yang diberikan suspek untuk sementara waktu dan mangsa menyedari ditipu setelah wang tidak dikembalikan.

Gambar hiasan

Noor Azam mengakui jenayah komersial lain seperti kes penipuan pembelian barang menerusi internet, penipuan pinjaman tidak wujud dan penipuan parcel scam juga menunjukkan peningkatan bagi tempoh berkenaan tahun ini.

Statistik penipuan pembelian barang melalui internet mencatatkan jumlah kerugian RM1.15 juta dengan 286 kes tahun ini berbanding RM272,975  dan 109 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi kes penipuan pinjaman yang tidak wujud, jumlah kerugian yang dicatatkan ialah sebanyak RM698,964 dengan 103 kes pada tahun ini berbanding tahun lepas hanya RM211,760 dan 34 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata penipuan parcel scam hanya menunjukkan peningkatan bilangan kes iaitu sebanyak 67 kes pada tahun ini berbanding 60 kes pada tahun lepas dengan kerugian berkurang dari RM1.12 juta pada tahun lepas susut kepada RM785,731 pada tahun ini.

Sementara, di Sibu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailainni Amit memperingatkan masyarakat agar sensitif serta tidak mudah mempercayai modus operandi memperdaya mangsa dengan hadiah kiriman bungkusan atau “parcel scam” yang ditawarkan sindiket kerana ia akan berakhir dengan penipuan.

Dalam kenyataan beliau, sehingga September lepas, sebanyak 13 kes penipuan kiriman bungkusan dilaporkan melibatkan kerugian RM256,186 direkodkan di Sibu.

Menurut Zailanni, kebanyakan mangsa melibatkan wanita lingkungan 23-64 tahun yang dikenali melalui media sosial termasuk Facebook.

Sindiket mula memainkan peranan, apabila perhubungan menjadi akrab dan mangsa mula mempercayai mereka dengan suspek berjanji mengirimkan hadiah sebagai tanda persahabatan.

Taktik penyamaran sebagai kastam atau syarikat penghantaran biasanya dilakukan ke atas mangsa bagi mendapatkan wang sebagai bayaran cukai (tebusan?) ke atas bungkusan kiriman tersebut.

Zailanni berkata, biasanya, mangsa akan melakukan pembayaran dan hanya menyedari  mereka telah ditipu apabila pemanggil gagal dihubungi kemudiannya.

Pada September lepas, seorang suri rumah rugi ditipu RM3,800 oleh kenalan di media sosial.

Mangsa dikatakan menjalin hubungan dengan “lelaki atas talian” berasal dari Amerika Syarikat yang berjanji menjadikan mangsa teman wanita melalui media sosial.

Sementara, dalam kejadian berasingan di Limbang, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan pelajar tingkatan tiga kerugian RM1,260 apabila diperdaya oleh sindiket menjanjikan wang kemenangan bernilai RM7,000 melalui media sosial.

Sindiket penipuan menawarkan hadiah kemenangan kepada mangsa merupakan salah satu lagi jenayah dunia siber yang berleluasa hari ini.

Jangan mudah terpesona dengan kecanggihan dunia maya. Berfikir sebelum kena dan akhirnya sendiri merana. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru