KOTA SAMARAHAN: Menteri Luar berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menutup kedutaan di Korea Utara, dan segala urusan akan dibuat menerusi Beijing.

Langkah ini, kata Datuk Seri Anifah Aman, perlu  berikutan keputusan kerajaan untuk tidak menempatkan duta di negara itu.

Beliau berkata, kerajaan akan memindahkan urusan berkaitan Korea Utara ke kedutaan di Beijing.

“Kementerian akan menyerahkan kertas cadangan kepada kedutaan Malaysia di Beijing untuk diakreditasi kepada Korea Utara. Apa-apa perkara berkaitan hubungan Malaysia dan Korea Utara akan dikendalikan oleh kedutaan kita di Beijing,” katanya.

Anifah menjelaskan demikian kepada pemberita selepas dialog ‘Isu dan Cabaran dalam Urusan Hubungan Luar Malaysia’ di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini semalam.

Februari lalu Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad dipanggil pulang susulan kejadian kematian Kim Jong-nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Wisma Putra memanggil pulang duta besar itu dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung kematian Jong-nam.

Kang Chol dilaporkan telah memberi gambaran kononnya kerajaan Malaysia mempunyai ‘sesuatu untuk disembunyikan’ dan mendakwa Malaysia ‘berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar’ dalam kes kematian Jong-nam.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam yang berada di KLIA2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau telah ditekup mukanya oleh seorang wanita dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Bulan lalu, Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan melarang rakyat Malaysia daripada berkunjung ke Korea Utara, sehingga dimaklumkan kelak. – Sarawakvoice