Friday, October 7, 2022

Bangladesh sambutan baik hasrat Malaysia wujudkan hospital lapangan untuk bantu pelarian Rohingya — Menteri Luar Malaysia

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Bangladesh semalam menyambut baik hasrat Kerajaan Malaysia untuk membina sebuah hospital lapangan di tapak perlindungan pelarian Rohingya di negara tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau diberitahu tentang perkara itu semalam, namun maklumat lanjut tentangnya akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan berkunjung ke negara tersebut pada 15 hingga 16 November ini.

“Sekadar memberitahu anda (wartawan), Bangladesh mengalu-alukan inisiatif kita (Kerajaan Malaysia) untuk mewujudkan hospital lapangan di negara itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk “Isu dan cabaran dalam menguruskan hubungan luar Malaysia” di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini pagi semalam.

Gambar fail

Hadir sama Naib Canselor Unimas, Datuk Mohd Kadim Suaidi.

Anifah berkata, pendirian Malaysia berhubung kes Rohingya adalah konsisten dan jelas, bahawa isu ini bukan lagi perkara dalaman atau domestik Myanmar.

“Sebaliknya ia kini menular menjadi krisis kemanusiaan di rantau ini sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya.

“Lebih 100 ribu penduduk etnik ini telah melarikan diri dan ia menuju ke negara jiran, termasuk Malaysia.

Sementara itu, Anifah turut mengesahkan bahawa Malaysia tidak akan menghantar duta atau wakil ke Korea Utara, malah meneruskan amaran untuk tidak menggalakkan penduduk negara ini berkunjung ke negara itu.

“Kita sedang menyiapkan kertas kabinet untuk tujuan tersebut dan ia akan dibentangkan tidak lama lagi.

Segala urusan kedutaan dan konsular berkaitan Korea Utara kini dikendalikan oleh Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, China.

Sarawak merupakan antara negeri yang menggunakan pekerja Korea Utara untuk sektor perlombongan dan pembinaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru