Annuar: Bila di kandang buaya, Zaid terpaksa menjadi buaya

KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin DAP, Zaid Ibrahim bahawa Lim Kit Siang lebih baik daripada pemimpin Umno untuk menjadi Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan lagi hasrat pimpinannya untuk memegang jawatan Perdana Menteri dalam negara ini.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau gembira dengan kenyataan Zaid itu memandangkan sebelum ini beliau pernah memaklumkan bahawa Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, namun ada pihak yang cuba menafikannya.

“Sebelum ini, apabila saya membuat kenyataan bahawa Kit Siang mempunyai hasrat untuk menjadi Perdana Menteri, ada pihak yang menggelabah untuk menafikan perkara tersebut,” katanya.

Namun, ujarnya, sekarang sekurang-kurangnya kenyataan Zaid itu sebagai mengesahkan bahawa Kit Siang ada kriteria untuk menjadi Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, saya ucapkan tahniah kepada sahabat saya itu kerana akhirnya beliau secara tulen telah ‘di-DAP-kan’. Jadi saya ucapkan selamat berjayalah kepadanya,” ujarnya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kenyataan Zaid Ibrahim itu seperti dipetik portal umno.

Bagaimanapun, beliau merasakan kenyataan yang dibuat oleh Zaid Ibrahim itu sekadar kata-kata yang zahir terucap, sedangkan di hatinya tidak begitu.

“Kadang-kadang apa yang kita katakan itu tidak sama dengan hati kita. Bagi saya Zaid juga tidak terlepas tentang keadaan itu. Beliau terpaksa bersuara ala DAP kerana beliau berada di parti tersebut,” katanya lagi.

“Bila berada di kandang buaya, Zaid terpaksa menjadi buaya supaya dia tidak dimakan buaya, bila berada di kandang harimau, Zaid terpaksa memakai belang harimau supaya tidak dibaham harimau, tetapi Zaid kena ingat, buaya pakai kulit apa pun tetap buaya,” tegasnya. – Sarawakvoice