KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak semalam mengesahkan bahawa sebanyak dua daripada 15 keputusan sampel yang diterima daripada  Pusat Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh pada Selasa adalah positif virus Rabies.

Dua sampel yang positif ujian Direct Fluorescence Antibody Test (FAT) itu adalah dari kawasan

Taman Bowood, Jalan Matang,  yang terletak dalam 10 kilometer radius kawasan surveilan dari Taman Alamanda Indah, Matang.

Taman Alamanda telah diisytiharkan kawasan wabak pada 11 September lalu.

“Satu lagi sampel adalah dari SMK Serian,  juga terletak dalam 10 kilometer radius kawasan surveilan dari bandar Serian, yang telah diisytihar kawasan wabak pada 13 Julai.

Kata jawatankuasa itu lagi, bilangan sampel yang diterima daripada VRI, Ipoh setakat ini adalah

sebanyak 260 daripada 265 yang dihantar.

“Sampel tersebut adalah 238 sampel anjing, 21 sampel kucing dan satu sampel kelawar.

“Kes positif virus Rabies setakat ini adalah 18.85 peratus, yang terdiri daripada 43 sampel anjing dan 6 sampel kucing.

Secara kumulatif, sebanyak 38,542 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 30,593 ekor anjing, 7,904 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksinasi.

Sebanyak 43,710 survelan aktif dan 1,978 survelan pasif telah dilakukan bagi mengawal penularan wabak Rabies di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

Operasi bersepadu bersama-sama Kementerian  Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menjaring sebanyak 1,842 ekor anjing dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 17 kes gigitan baharu telah dilaporkan semalam  iaitu tujuh kes di Bahagian Serian, lapan kes di Bahagian Kuching, satu kes di  Bahagian Samarahan dan satu kes di Bahagian Sri Aman.

Daripada jumlah tersebut, lapan kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing, dan tujuh kes melibatkan kucing. – Sarawakvoice