Penceramah ditahan polis, kritik Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Penceramah agama Dr Zamihan Mat Zin  semalam ditahan polis di bawah Akta Hasutan 1948 susulan kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu ceramah di Shah Alam, Ahad lalu.

Penahanan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu disahkan  Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Ia proses biasa,” katanya kepada pemberita, semalam, tanpa menjelas lanjut.

Bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  Zamihan itu ditahan kira-kira jam 3.50 petang selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di ibu negara.

Pihak polis telah merampas telefon bimbit miliknya dan beliau ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam video yang terdapat dalam Youtube, Zamihan berkata, tidak betul bagi Sultan Iskandar untuk menyekat pemilik dobi di Muar membuka kedainya hanya untuk orang Islam. – Sarawakvoice