Islam toleran: Azmin junjung pedoman Raja Melayu

KUALA LUMPUR: Panduan yang disuarakan Raja-raja Melayu menerusi Penyimpan Mohor Besar itu akan menjadi panduan dalam mentadbir Selangor sebagai menteri besar, kata Timbalan Presiden  Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menyahut pedoman Raja-raja Melayu berhubung kepentingan menjaga perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di sebalik kontroversi dobi untuk ‘Muslim sahaja’ di Johor baru-baru ini.

Menurut Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, umat Islam dan rakyat perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

“Justeru, dengan penuh rasa tawadhu, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri kerajaan negeri Selangor,”ujarnya.

Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama dan berbilang kaum di negara ini.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya negeri Selangor untuk menolak gutter politics (politik longkang), budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan itu. – Sarawakvoice

Gambar fail