Gimik Jamal tunjuk teladan buruk kepada belia, rosakkan perpaduan – Presiden Patriot

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji tidak menyenangi telatah buruk yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos akhir-akhir ini.

Menurut Arshad, kelakuan buruk yang ditonjolkan pemimpin Gerakan Baju Merah yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengundang teladan tidak baik terhadap golongan belia.

Beliau menyifatkan gimik kontroversi seperti itu mampu memberi kesan buruk kepada perpaduan di kalangan rakyat di negara ini.

Dalam kenyataan beliau seperti dilaporkan Malaysia Dateline, Persatuan Patriot membenci sikap buruk seumpama itu kerana dianggap menganggu ketenteraman awam.

Bahkan, sikap sebegitu bagaikan ‘role model’ buruk kepada golongan belia di negara ini.

Arshad menyebut, dari isu usung keranda hingga ke tuala mandi dan terkini memecahkan botol arak merupakan dan telatah tidak masuk akal dilakukan Jamal.

Bagi Arshad terdapat cara lain yang lebih baik dapat dilakukan Jamal memprotes Kerajaan Negeri Selangor diterajui Menteri Besar Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

Ternyata cara Jamal ini dapat menimbulkan kebencian dan tidak menepati konsep perpaduan kaum di negara ini.

Arshad menganggap Jamal yang juga ahli Kehormat Persatuan Veteran ATM Kuala Lumpur mencemar  imej Persatuan itu.

Bagi beliau, veteran tentera dan polis berbangga berkhidmat kepada Raja dan Negara serta menghargai keharmonian rakyat dan negara. – Sarawakvoice