Gimik baru Jamal jual ikan murah pada perhimpunan Sabtu ini, dialu-alukan PH

KUALA LUMPUR: Ahli politik yang gemar mencetuskan kontroversi dan gimik, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos merancang menjual ikan semasa perhimpunan antikleptokrasi anjuran pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu, 14 Oktober ini.

Jamal dijangka menjual ikan pada sebelah petang dan membayangkan kehadirannya tidak memerlukan sebarang permit kerana perhimpunan tersebut dapat disifatkan seumpama karnival.

Jamal sengaja mencetuskan “gimik” terbaru itu sambil mendakwa harga ikan mahal disebabkan “orang tengah” terdiri daripada kalangan tauke ikan penyokong DAP.

Hasrat Jamal yang juga Pengerusi NGO Gerakan Merah itu nampaknya tidak “bertepuk sebelah tangan” kerana Sekretariat Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi menyambut baik kehadirannya yang mahu menjual ikan murah.

Memetik Malaysia Dateline, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil berkata, meskipun permohonan untuk tapak niaga sudah ditutup, namun Jamal boleh berniaga di mana-mana sahaja.

Pengarah Mobilasi Himpunan Mohamad Sabu turut bersetuju bahawa Jamal boleh berniaga ikan dimana-mana sahaja di Petaling Jaya.

Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah berharap anggota polis dan pasukan keselamatan Pakatan Harapan mampu mengawal sebarang kemungkinan berlaku pada perhimpunan tersebut, termasuk jika ada sebarang provokasi dari Jamal. – Sarawakvoice