Dituduh senyap selepas Misi London, Hasidah tempelak Chong Chieng Jen

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam satu kenyataan semalam menafikan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa, Chong Chieng Jen bahawa beliau dan anggota delegasinya “senyap”  selepas kembali daripada melaksanakan misi negeri di London pada Julai lalu.

“Kami di sana untuk mengkaji dan mendapatkan dokumen penting yang menyokong Kerajaan Negeri dalam perbincangannya dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah berkaitan dengan penurunan kuasa dan hak perlembagaan yang dimiliki oleh negeri ini.

“Ia juga bertujuan memastikan pelaksanaan sepenuhnya semua cadangan yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1963 yang bertujuan melindungi kepentingan khas Sarawak.

Katanya, oleh kerana matlamat misi dan tujuan dokumen-dokumen ini diperolehi adalah untuk menyokong pendirian Sarawak dalam perbincangan berterusannya dengan Kerajaan Persekutuan, perbincangan awam, pada peringkat ini, berkait kandungan dokumen ini bukanlah satu keperluan.

“Perbincangan bagaimana dokumen ini menyokong atau mengukuhkan kedudukan negeri, sebaliknya boleh dilakukan dengan teratur dan membina pada forum yang betul dan pada masa yang sesuai.

“Sesi Dewan Undangan Negeri yang akan datang merupakan forum yang tepat untuk berbuat demikian.

Ahli-ahli pembangkang yang diketuai Cheng Jen sebelum ini mendakwa bahawa buku ” Dokumen British Pada Akhir Empayar Britania” yang diterbitkan oleh Institut Pengajian Komanwel, University of London, mengandungi semua surat-menyurat, termasuk pertukaran telegram yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Namun misi yang saya pimpin bukan hanya terhad kepada dokumen-dokumen yang sudah ada di dalam buku tersebut.

“Tetapi turut berkait hal-hal perlembagaan penting lain, yang akan memperkuat hak-hak negeri ke atas pelantar benua, wilayah laut, perlombongan minyak pesisir pantai sebelum dan selepas Hari Malaysia dan dokumen di dalam fail rahsia atau rahsia milik Sarawak.

“Fail-fail ini dihantar kembali oleh pentadbiran kolonial ke London sebelum Hari Malaysia berdasarkan pekeliling Kerajaan British bahawa kerajaan baharu tidak boleh mempunyai laluan untuk membukanya.

Kerajaan Negeri Sarawak tegas Hasidah, telah meminta Arkib Negara British untuk membuat salinan dokumen-dokumen ini dan mengesahkan bahagian yang penting.

“Dokumen-dokumen ini tidak lama lagi akan berada di tangan kita.

“Saya boleh mengesahkan kepada ahli pembangkang bahawa hasil daripada misi ini, pastinya lebih daripada apa yang ada di dalam kandungan buku itu dan dokumen-dokumen yang disahkan, yang akan diterima oleh Kerajaan Negeri tidak lama lagi, akan mempunyai nilai yang lebih tinggi.

“Saya harus menambah bahawa sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa berhasrat melawat Arkib Negara British, dia pasti akan mencari dokumen yang ada kaitan  dengan hak perlembagaan negeri yang tidak ada di dalam buku yang cuba dipromosinya,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice