Chief pencacai Perdana Menteri: Dyana dijangkiti virus Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR: Kenyataan Dyana Sofia Mohd Daud yang melabelkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebagai ‘chief pencacai’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas menggambarkan Anggota Eksekutif DAP Perak telah dijangkiti virus Lim Kit Siang, kata Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia.

Menurut Haryaty Hamdzah, Dyana mula berasa panas apabila program Bicara Minda dan Dialog Semasa Perjuangan4all anjuran Penerangan Puteri Umno Malaysia dengan kerjasama Biro Penerangan UMNO Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan hangat dari wanita muda.

“Respons Dyana terhadap program yang membincangkan pengiktirafan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap wanita dan perjuangan wanita muda dalam negara ini jelas menunjukkan bahawa dia sebenarnya tidak matang dan telah dijangkiti virus Kit Siang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Haryaty, adalah lebih baik Dyana berusaha untuk membersihkan namanya terlebih dahulu sebelum mahu mempertikaikan orang lain.

“Dia sebenarnya tidak boleh menafikan tentang ‘DAP lead Pakatan Harapan’ seperti apa yang diperkatakan oleh Annuar Musa kerana dalam komposisi jumlah kerusi parlimen dalam Pakatan Harapan sekarang, DAP menguasai 37 kerusi berbanding PKR 28, Amanah 6 dan PPBM 1,” ujarnya.

Tambah Haryaty, BN  berjaya meletakkan ramai pemimpin wanita muda di beberapa platform utama dalam negara, dengan ada yang menjadi menteri, timbalan menteri, Pengerusi GLC, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Majlis PBT dan lain-lain lagi.

“Jika Dyana berbangga dengan pakej yang dia ada seperti berpendidikan tinggi, berpengalaman lima tahun dalam politik dan berwajah menarik, namun rekod telah membuktikan bahawa pakej yang ada padanya itu tidak membolehkan dia menang sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan maka adalah lebih baik dia bermuhasabah diri.

“Hakikatnya perjuangan wanita muda dalam politik bukan terletak pada pakej itu semata dan bukan semudah itu.

“Perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ DAP kini bukan hanya disuarakan oleh pemimpin lama DAP sahaja tetapi ‘anak muda Melayu’ seperti Dyana yang hilang identiti dirinya setelah dikuasai oleh DAP,” terangnya lagi. – Sarawakvoice