Bajet 2018: Harapan lebih peluang perniagaan kepada belia India

KUALA LUMPUR: PEMUDA MIC Kebangsaan berharap lebih banyak peluang dan geran perniagaan diberikan kepada belia India melalui Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak pada 27 Oktober ini.

Ketua Pemudanya C Sivaarrajh berkata ia bertujuan memperkasakan ekonomi belia melalui penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan.

“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan beban sara hidup kerana ekonomi merupakan cabaran terbesar kini,” katanya kepada Bernama selepas majlis makan malam Deepavali bersama media anjuran Pemuda MIC Kebangsaan di Bangunan MIC, malam tadi.

Beliau berkata adalah menjadi harapan sekiranya pengumuman oleh perdana menteri kelak menjadi sumber pemerkasaan ekonomi belia India dan ia dipercayai dapat mengembalikan sokongan mereka  kepada  kepimpinannya.

Katanya Najib merupakan perdana menteri yang sering membantu masyarakat India secara langsung  melalui pembangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan peruntukan dana perniagaan.

“Komitmen itu dapat dilihat melalui penyaluran peruntukan hampir RM900 juta kepada sekolah Tamil dan meluluskan peruntukan lebih RM1.2 bilion untuk masyarakat India berniaga,” katanya.

Majlis makan malam itu dihadiri pengamal media tempatan dan ahli Pemuda MIC dari pelbagai cawangan seluruh negara. – Bernama

Gambar fail