SIMUNJAN: Kurang 13 jam selepas hilang, mayat seorang warga emas dan cucunya yang terjun sungai untuk menyelamatkannya di Sungai Batang Sadong lewat petang semalam berjaya ditemui pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mayat Cardirwin Jefferi, 27 tahun dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 7.15 pagi tadi, kira-kira 5 kilometer dari Pos Kawalan Bomba di Tanjung Sungku@Sungkau, Kampung Tegelam.

“Manakala mayat warga emas, Kajim Aslan, 77 tahun ditemui penduduk kampung tersangkut pada tali tongkang yang berlabuh di jeti Pekan Simunjan sekitar jam 7.18 pagi.

“Jarak mangsa dijumpai adalah sekitar 30 kilometer dari Kampung Tegelam.

Kata Ling Hii, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang semalam, Kajim sedang memandu bot dari Kampung Tegelam untuk menjemput cucunya, Cardirwin di Kampung Lubok Punggor yang terletak di seberang sungai.

Bagaimanapun ketika menghampiri tebing sungai kampung tersebut, bot yang dinaiki mangsa telah terlanggar batang kayu sebelum terbalik.

Cardirwin yang ketika itu bersama-sama rakannya yang menyaksikan kejadian tersebut terus terjun ke dasar sungai dengan niat untuk menyelamatkan mangsa.

Namun arus sungai yang agak deras telah menyebabkan kedua-dua mereka dihanyutkan air.

Rakan Cardiwin bernasib baik kerana berjaya berenang ke tebing dan telah memaklumkan kejadian tersebut kepada orang kampung, yang kemudian memanjangkannya kepada pihak polis dan bomba. – Sarawakvoice