Saya tidak tuding jari siapa salah, hanya perlukan tandatangan pada laporan kewangan lepas — Posa

Merujuk kepada kenyataan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman melalui sebuah laman sosial di Facebook dan media
cetak sebenarnya tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah permohonan lesen persatuan untuk bersaing di Liga Super tahun hadapan.

Tidak dinafikan beliau dan pengurusan lepas banyak mengangkat semula martabat bolasepak Sarawak semenjak menerajui FAS dari tahun 2012
sehingga tahun 2016.

Secara peribadi saya tidak menafikan sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan bolasepak Sarawak.

Isu yang menjadi penghalang kepada FAS untuk memohon lesen tersebut ialah pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mewajibkan kesemua persatuan atau kelab untuk menghantar laporan kewangan persatuan kepada mereka sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan lesen tersebut.

Gambar fail

Saya mengaku saya mempunyai kelemahan dan sentiasa berusaha bersama-sama barisan pengurusan yang baru untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Dan saya juga percaya pengurusan yang lepas mempunyai kelemahan mereka sendiri.
Tiada manusia atau sistem yang sempurna.

Pihak pengurusan FAS sekarang (2017) telah beberapa kali merayu kepada pihak FMLLP untuk mendapatkan lesen tersebut namun ditolak kerana belum menerima laporan kewangan yang dikehendaki.

Laporan kewangan yang dikehendaki ialah laporan kewangan pengurusan FAS bagi tahun lepas (2016).

Laporan tersebut pernah dihantar, namun ditolak oleh FMLLP atas beberapa sebab yang terkandung didalam laporan tersebut yang tidak lengkap.

FAS akur akan peraturan yang ditetapkan oleh FMLLP dan telah berusaha untuk
memenuhi syarat yang ditetapkan.

Seperti yang semua sedia maklum, saya baharu memegang tampuk kepimpinan
FAS pada tahun ini (2017) dan tidak mempunyai kuasa untuk menandatangi
laporan kewangan untuk tahun 2012 sehingga tahun 2016.

Sedangkan laporan yang dikendaki oleh FMLLP adalah bagi tahun 2012 sehingga tahun 2016.

Dari tahun 2012 sehingga tahun 2016, segala bentuk urusan pengurusan kewangan tidak disalurkan melalui FAS kerana pada tempoh tersebut persatuan diuruskan oleh FAS FMG Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh beliau dan pengurusan lepas.

Saya hanya mempunyai kuasa sekiranya segala bentuk urusan kewangan diuruskan atas nama “Persatuan Bolasepak Sarawak” untuk tahun 2017 sahaja sedangkan laporan kewangan yang dikehendaki adalah dibawah nama “FAS FMG Sdn Bhd”.

Ini adalah diluar bidang kuasa saya dan untuk pengesahan laporan kewangan bagi tujuan audit tersebut haruslah ditandatangani oleh beliau selaku Presiden, Pengarah dan ahli lembaga pengarah FAS FMG Sdn Bhd ketika itu.

Sekiranya laporan kewangan tersebut disiapkan dan ditandatangani, maka laporan audit akan dihantar kepada FMLLP.

Dan Insya-Allah urusan permohonan lesen tersebut akan berjalan dengan lancar.

Isu berkaitan dengan hutang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan
Simpanan Wang Pekerja dan Socso bukanlah isu besar ketika ini untuk mendapatkan lesen tersebut.

Malah barisan pengurusan FAS kali ini (2017) telah banyak menyelesaikan beberapa isu hutang, denda dan beberapa perkara lain yang ditinggalkan oleh pengurusan yang lepas.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah laporan kewangan tersebut (2012-2016) perlu ditandatangani dan dihantar oleh pengurusan yang lepas sahaja.

Saya berharap pihak beliau dapat memberi kerjasama dalam menyelesaikan perkara ini kerana kita telah kesuntukan masa biarpun beberapa kali beliau telah dimaklumkan berhubung perkara ini.

Tiada niat saya serta pengurusan FAS sekarang untuk menuding jari mencari kesalahan sesiapa kerana kami sentiasa bekerjasama dengan semua pihak yang terbabit bagi memastikan yang terbaik untuk sukan bola sepak negeri Sarawak.

Saya dan seluruh rakyat Sarawak sayang akan sukan bola sepak kita dan kita tidak mahu kerana perkara ini kita dihukum untuk tidak bersaing lagi pada masa akan datang.

Diharapkan perkara ini tidak akan berlaku dan diselesaikan dalam tempoh yang telah diberikan dan berharap para penyokong terus memberikan sokongan kepada pasukan Sarawak.

* Datuk Posa Majais adalah Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak