EU, AS, Asean, OIC sokong kenakan sekatan ke atas rejim Myanmar

KESATUAN Eropan (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mempertimbang untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap pemimpin tentera Myanmar.

Langkah ini diambil sebagai hukuman ke atas  serangan yang dilakukan tentera, menyebabkan lebih 500,000 penduduk Islam Rohingya menjadi pelarian.

Menurut Reuters, perkembangan itu menunjukkan tekanan dihadapi pembuat dasar di Barat berhubung kekerasan terhadap etnik Rohingya oleh rejim Yangon.

Sekatan itu juga diperkenalkan menjelang lawatan Presiden Donald Trump ke beberapa negara di Asia.

Banyak bantahan dibuat terhadap pemenang Nobel dan pemimpin kebangsaan Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dituduh gagal mengawal tindakan tentera.

Dua pegawai AS yang berpangkalan di Washington mengatakan sekatan disasarkan terhadap komander Min Aung Hlaing dan beberapa jeneral lain, serta pemimpin Buddha Rakhine yang didakwa menyerang kampung Rohingya.

Diplomat Barat mengakui pengaruh mereka terhad, berbanding China yang mempunyai hubungan kental dengan Myanmar semenjak Suu Kyi berkuasa 18 bulan lalu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sedang menekan untuk mendapat akses kemanusiaan ke bahagian lain di Rakhine, tempat ratusan ribu Rohingya menetap.

Sebelum ini, EU menarik balik sekatan ekonomi ke atas selepas tentera keluar dari pemerintahan secara langsung negara tersebut pada 2012.

Dalam satu lagi tekanan di Myanmar, diplomat yang berpangkalan di New York berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Perhimpunan Agung PBB menolak resolusi hak asasi manusia di negara ini.

Di kalangan negara Asean, Putrajaya digesa mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar jika negara itu gagal menghentikan keganasan terhadap etnik Rohongya.

Gesaan itu dibuat oleh 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini termasuk Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (Gapim) dan Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar (Merhrom). – Sarawakvoice