Suarakan isu dalaman hanya jejaskan kredibiliti FAS, moral pasukan — Sudarsono

Kami menghabiskan masa selama tujuh tahun untuk meletakkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan sukan bola sepak negeri ini kembali pada kedudukan yang baik.

Menjadi hasrat kami untuk menyerahkan FAS kepada pasukan pentadbir seterusnya dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika kami menerimanya.

Saya gembira bahawa menjelang akhir penggal kami pada 9 September 2016, FAS lebih berkredibiliti, terutama dalam kalangan pemegang taruh.

Kami mempunyai pembiayaan Kerajaan Negeri yang besar, sesuatu yang FAS tidak pernah nikmati pada masa lalu.

Kami membawa masuk tajaan daripada GLC negeri serta syarikat swasta. Ini meningkatkan keupayaan kewangan kami walaupun kos untuk menguruskan pasukan dalam Liga M terus melonjak saban tahun.

Kami melakukan serah tugas daripada bekas exco kepada yang pengurusan baharu dalam satu mesyuarat pada 2 September 2016.

Beberapa mesyuarat turut diadakan untuk memastikan proses peralihan pengurusan dan penyediaan pasukan untuk musim berikutnya berjalan lancar.

Sudah tentu mengambil alih organisasi bermakna mengambil alih aset, jika ada dan liabilitinya.

Saya masih ingat, ketika kami mengambil alih FAS pada akhir tahun 2009, keseluruhan ekosistem bola sepak Sarawak lumpuh.

Pemain muda tidak mahu mewakili negeri kerana bola sepak bola telah kehilangan seri dan glamornya.

Pasukan utama negeri pula bergelut di liga bawahan dan FAS berada dalam situasi hutang besar dan sedang merancang untuk menarik diri dari liga kebangsaan.

Pemain-pemain seperti Joseph Kalang Tie dan Reshafiq Alwi pula terpaksa merantau ke Semenanjung untuk menjual bakat mereka.

Hari ini, saya berasa bangga apabila melihat banyak pemain muda kini beraksi untuk pasukan senior.

Itulah falsafah dan tujuan kita sebelum ini apabila membangunkan bakat tempatan kita sendiri.

Saya yakin jika Sarawak dapat mengekalkan semua bakat ini, kita akan mempunyai pasukan yang kuat, yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan, dan diperkukuh oleh pemain import yang baik.

Ini boleh menjadi kenyataan pada musim depan, setelah pemain-pemain muda ini menimba pengalaman yang cukup baik pada musim ini.

Pembangunan bakat muda memerlukan masa. Keputusan tidak dapat dihasilkan semalaman. Ia mengambil masa 4 ke 5 tahun untuk melihat hasil program pembangunan.

Program pembangunan mestilah berterusan dan ditangani dengan tekun. Semua pihak perlu bersabar dan bersedia untuk melalui proses ini sebelum bakat muncul dan bersedia untuk bersaing dalam liga besar.

Walau bagaimanapun, jika FAS tidak stabil dan tidak dapat memberi jaminan untuk kerjaya mereka, maka kita akan kehilangan pemain muda berbakat ini, yang pasti menjadi buruan pasukan lain dalam liga.

Menguruskan bola sepak bukanlah sesuatu mudah kerana memerlukan pembiayaan yang besar. Pihak pengurusan akan terus berhadapan pelbagai cabaran dan persoalan, baik dari persembahan pasukan, keharmonian pasukan, pemain, penyokong dan kewangan.

Tetapi semua cabaran ini adalah perkara biasa dalam pengurusan bola sepak profesional dan perlu dihadapi.

Kita tidak boleh mengelak situasi ini dan perkara terakhir yang boleh dilakukan ialah menyalahkan orang lain untuk kesukaran yang dihadapi.

Sekiranya ada yang berpendapat bahawa menguruskan pasukan bola sepak profesional adalah seperti berjalan kaki di taman, maknanya seseorang itu tidak tahu bola sepak.

Pada pendapat saya, yang paling penting pada masa ini ialah pihak pengurusan dan pasukan perlu terus fokus untuk memenangi perlawanan terakhir di gelanggang sendiri untuk mengekalkan status pasukan dalam liga musim depan.

Pemain adalah aset paling penting pasukan. Bina keyakinan para pemain terhadap pengurusan FAS dan fokus untuk mewujudkan persekitaran yang stabil untuk masa depan pemain.

Menyuarakan masalah dalaman pengurusan tidak akan membantu dalam membina kepercayaan pemain.

Jika pemain hilang kepercayaan kepada pengurusan, kita akan berisiko kehilangan semua bakat tempatan yang selama ini kita bina, asuh dan laburkan dengan masa, wang dan usaha.

* Datu Sudarsono Osman merupakan bekas bekas Presiden FAS, bekas Naib Presiden FAM dan Pengerusi FAS FMG Sdn Bhd