Saturday, June 25, 2022

Senarai calon Parlimen Sarawak kini di tangan Najib — Abang Jo

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Senarai calon berpotensi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 telah diserahkan kepada Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk dinilai, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, Najib mempunyai kata pemutus terhadap calon yang dicadangkan, setelah menerima pencalonan daripada parti-parti komponen BN yang bertanding.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama tersebut.

“Ya. Saya ada menerima senarai calon-calon di peringkat negeri. Cuma perkara ini saya serahkan kepada Pengerusi BN Pusat (Najib) untuk membuat keputusan,” katanya selepas menghadiri sesi townhall Santai Bersama Abang Jo sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2017 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Terdahulu dalam program tersebut, beliau menegaskan Sarawak akan terus memperjuang hak-haknya yang terhakis sambil menubuhkan beberapa inisiatif untuk membangunkan negeri.

Menjawab soalan tentang kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ke Sarawak dalam Kempen Perdana Pakatan Harapan, beliau yakin rakyat Sarawak tidak akan termakan hasutan pembangkang.

“Saya dalam kabinet Tun Abdul Taib Mahmud dahulu. Tan Sri Alfred Jabu pun dalam kabinet.

“Apabila kita memohon jalan di kawasan pesisir pada era beliau, ia umpama menanti sungai tidak berhulu.

“Tetapi pada era Datuk Seri Najib (Tun Razak), permohonan kita diluluskan dan kita kini memiliki Lebuh Raya Pan Borneo yang kualitinya sama seperti di Semenanjung.

“Bahkan kita juga sudah ada wakil dalam Lembaga Pengarah Petronas.

Tegasnya, apabila Tun M bersekongkol dengan pembangkang, terutamanya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, ia menunjukkan beliau tidak berprinsip.

“Kita lebih utamakan masa depan generasi kita. Kita lebih pentingkan kemajuan kita dan politik yang menepati janji.

“Orang Sarawak bukan paloi,” tegasnya sambil menyifatkan dakwaan dan janji pembangkang ketika kempen perdana mereka baru-baru ini sebagai dakyah dan janji kosong. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru