Rumah sudah diroboh, Azmin, Noh masih bidas-membidas

TIGA rumah dan dua kedai sudah diroboh dalam isu tuntutan di pekarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAA) di Subang Rabu lalu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang didakwa mempunyai kuasa lebih mutlak menentukan keputusan perobohan berkenan.

“Tanah itu tanah kerajaan persekutuan, sepatutnya dialah yang buat panggilan itu,” kata Azmin merujuk tanah milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) Putrajaya.

Beliau mendakwa, sepatutnya Noh membuat panggilan telefon menghentikannya kerana tanah berkenaan milik kerajaan persekutuan.

Azmin membidas Noh, kerana sebelum ini Noh mendakwa beliau boleh menghentikan perobohan itu dengan hanya membuat panggilan telefon.

Noh menyalahkan Azmin kerana tidak bertindak sebagai pemimpin yang berkuasa di Selangor.

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa masjid LTSAA.

Tindakan meroboh dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling kerana tanah tersebut sudah dipajak kepada Malaysia Airport Berhad (MAB) selama 60 tahun.

Perintah mahkamah dikeluarkan 8 September lalu agar pemilik premis mengosongkan kawasan berkenaan sehingga Ahad minggu lepas untuk berpindah namun arahan mahkamah itu tidak diendahkan.

Dalam kekecohan yang berlaku di tapak kejadian, sepasukan polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut bergegas ke lokasi meleraikan pertikaian yang timbul.

Bagaimanapun, prihatin dengan isu tersebut, Azmin menawarkan inisiatif kediaman di Pusat Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara kepada dua keluarga terlibat.

Kerajaan Negeri turut bersetuju membiayai kos sewa unit kediaman baru bagi tempoh enam bulan sebelum unit berkenaan ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.

Sementara, Noh pula turut membidas Azmin dengan mengatakan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan di Selangor itu tidak tahu undang-undang.

Azmin menurutnya sepatutnya tidak menuding jari kepada beliau berkaitan isu perobohan berkenaan.

Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata kerja merobohkan rumah dan kedai tersebut dijalankan oleh MBSA yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

Noh berkata, “kalau penguat kuasa (PBT) di bawah kementerian, saya sudah telefon jangan roboh, selesai dahulu masalah rumah penghuni.

Menurut Noh, walaupun ada arahan dari mahkamah untuk merobohkannya, rakyat perlu dibantu menyelesaikan masalah bukan terus merobohnya.”

Noh turut mengambil inisiatif membantu mangsa dengan meluluskan segera pemindahan mangsa ke rumah dan kedai baharu untuk mereka.

Jika ada kesepakatan yang tidak berkepentingan politik, kedua-dua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang sepatutnya dapat menangani kebajikan rakyat tanpa bidas-membidas dan berdolak-dalik. – Sarawakvoice