Mahathir tambah suspens baru, akui kenali “H” yang cuba sogok Syed Saddiq RM5 juta

Siapakah individu bernama “H” yang didakwa oleh Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?

Individu bernama “H” didakwa cuba menyogok RM5 juta kepadanya agar melupakan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?

Syed Saddiq dalam sidang akhbarnya Isnin lepas yang mencetuskan kontroversi kemudiannya, menjadikan alasan “berkorban” sebagai hasratnya melupakan biasiswa yang ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford.

Pada sidang media tersebut, Syed Saddiq umpama melastik dua ekor burung dengan satu batu, turut mendakwa terdapat individu di luar Pakatan Harapan (Harapan) cuba menyogoknya RM5 juta sekiranya sedia meninggalkan perjuangan Bersatu dan menerima tawaran menyambung pelajaran ke luar negara.

Syed Saddiq juga mendakwa dijanjikan peruntukan geran membuka sekolah debat di seluruh negara.

Dan plot terbaru, Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad pun muncul, “angkat tangan” kanan, mengaku mengenali individu misteri bernama “H” itu.

Siapakah “H” itu? Mahathir tidak menyebutnya, sebaliknya menambah tanda tanya baharu.

Mahathir yang terkenal bernada sinikal berkata, beliau tidak mengenali rapat individu terbabit kerana insan yang mempunyai tingkah laku seperti itu tidak wujud dalam mana-mana jabatan semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Orang begini wujud untuk menjadi orang suruhan kepada ketuanya,” katanya kepada Sinar Online.

Syed Saddiq sebelum ini mempertahankan dakwaan individu yang dirujuk sebagai ‘H’ benar-benar wujud, bukan ciptaan atau omongan kosong.

Sebelum ini Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad mengatakan individu berkenaan tidak wujud di pihak UMNO.

Syed Saddiq sebelum ini “bertembung” kepentingan dalam Bersatu dengan Bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Hamidah Osman dan adiknya bekas aktivis Bersatu Perak Hamizura Osman sehingga membawa kepada keluarnya kedua-dua adik-beradik ini dari Bersatu.

Bagaimanapun, usaha yang cuba dilakukan Syarul Ema Rena atau juga dikenali sebagai Ratu Naga berjaya mempertemukan Syed Saddiq dengan Hamizura Selasa ini.

Sementara, Hamidah berkata, kemelut tersebut sudah diserahkan kepada peguamnya dan “cabaran” Syed Saddiq dianggapnya sudah terlanjur.

Pada Selasa, Hamidah turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Syed Saddiq?

Persoalannya sekarang sejauh mana pula individu yang dikatakan bernama “H” itu dikaitkan dengan nama yang kebetulan individu yang keluar Bersatu itu bermula dengan huruf “H” — Hamidah dan Hamizura.

Bagaimanapun, berdasarkan bayangan yang diberikan Mahathir, Hamidah atau Hamizura seperti bukan orang yang dimaksudkan Syed Saddiq!

Masih ada banyak “H” lain boleh diteka, begitulah teka-teki politik, dari plot ke plot penuh dramatik. Yang paling membuat orang ternganga ialah apabila berlaku antiklimaks dalam drama politik seperti ini. – Sarawakvoice