LUNDU: Seorang lelaki maut manakala dua wanita parah apabila kereta yang dipandu mereka merempuh sebuah stimrol di Jalan Sampadi-Lundu dekat sini pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, insiden berlaku berhampiran Kampung Selenggok dan pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu sekitar jam 8.21 pagi.
“Pihak kita kemudian mengaturgerakkan sebuah jentera Scania dan ambulans EMRS serta tujuh anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu sebelum tiba di lokasi 24 minit kemudian.
“Setibanya pasukan di lokasi, mereka mendapati terdapat seorang mangsa masih tersepit dengan nahas melibatkan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dan jentera stimrol.
Difahamkan kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan ke Lundu dari Kuching sebelum hilang kawalan dan merempuh stimrol yang berjalan perlahan di laluan yang sama.
“Pasukan penyelamat kemudian menggunakan cutter untuk memecah bumbung kenderaan terbabit bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai Serald Michael, 29 tahun bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik, sejurus dikeluarkan.
Kata Ling Hii, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Lundu dengan menggunakan ambulans paramedik dan EMRS. – Sarawakvoice