KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Kilometer 13, Jalan Datuk Mohamad Musa, dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.05 malam apabila sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kampung Seratau sedang bergerak dari Kota Samarahan menuju ke Kota Sentosa.

“Ketika bergerak lurus, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang mangsa dan isterinya yang berada di hadapan, yang juga bergerak dari arah Kota Samarahan menuju ke Kota Sentosa.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di sini namun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan.

“Penunggang motosikal yang satu lagi dan isteri mangsa yang berusia 59 tahun pula mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Identiti mangsa yang maut kata Bingkok, dikenal pasti sebagai Wan Putera Wan Hamid, 55 tahun dari Kampung Bukit Berangan, di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat mangsa dijadualkan pada jam 10 pagi ini. – Sarawakvoice

Allahyarham Wan Putera Wan Hamid  #alFatihah