
Baru-baru ini kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri James Masing tentang kedudukan Datuk Joseph Entulu Belaun telah memberikan implikasi politik terhadap Ahli Parlimen tiga penggal yang kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut James Masing, Joseph Entulu mungkin tidak bertanding pada PRU akan datang. Hal ini kerana Joseph Entulu gagal mendapat perakuan atau pengesahan daripada wakil rakyat di Parlimen Selangau.
Antaranya ialah wakil rakyat Kakus, iaitu John Sikie Tayai yang merupakan menteri muda di jabatan Ketua Menteri yang merupakan wakil rakyat dua penggal di Kakus.
Begitu, juga Christopher Gira Sambang yang turut tidak memperakukan pencalonan Joseph Entulu untuk mempertahankan kerusi parlimen Selangau. Gira ialah wakil rakyat penggal pertama di Tamin.
Joseph Entulu ialah Timbalan Presiden PRS yang menang besar di Selangau yang mendapat undi sekitar 70 peratus undi yang menunjukkan popularitinya.
Politik Prasyarat
Pengesahan wakil rakyat DUN di kawasan Parlimen seolah-olah dijadikan prasyarat sebelum nama dihantar ibu pejabat untuk diproses oleh kepemimpinan tertinggi, iaitu James Masing selaku Presiden PRS.
Menurut James Masing, prasyarat ini sangat penting dan ahli-ahli parlimen PRS perlu diperakukan oleh wakil rakyat ADUN kawasan Parlimen untuk bertanding pada PRU akan datang.

Presiden Tanpa Kuasa?
Menurut James Masing lagi, apabila wakil rakyat DUN di kawasan tersebut membuat perakuan terhadap pencalonan atau penyandang, beliau sebagai presiden parti tidak ada pilihan, akan tetapi terpaksa memperakukan berdasarkan apa-apa yang telah diperakukan oleh ahli-ahli DUN di kawasan parlimen.
Hal ini berdasarkan perakuan yang datang daripada mereka yang mempunyai sokongan teramai dalam sesebuah kawasan DUN.
“Saya tidak dapat memperakukan individu sebagai calon parti tanpa sokongan wakil rakyat kawasan tersebut”, tegas James Masing, sambil menambah bahawa jika wakil rakyat tidak berhasrat menyokong penyandang, mereka diminta mengemukakan nama calon lain yang dilihat mempunyai sokongan akar umbi.
Namun tidak semua ahli DUN yang menyokong Joseph Entulu digugurkan. Menurut sumber dalaman PRS, kawasan Samalaju misalnya, ialah penyokong kuat pencalonan Joseph Entulu, namun tidak pula dinyatakan sokongan tersebut.
Krisis Dalaman PRS
Sebenarnya terdapat pergelutan politik antara Presiden Parti dan Timbalan Presiden, dan ini bukanlah suatu rahsia dalaman parti lagi.
PRS ditubuhkan selepas PBDS dan SNAP dibubarkan pada tahun 2003 akibat pergelutan politik James Masing dan Sng Chee Hua.
Ketika penubuhan PRS Joseph Entulu ialah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau dikatakan mempunyai hubungan dekat dengan Putrajaya yang membolehkan PRS mendaftar sebagai parti yang sah dengan laluan lebih mudah.
Entulu memegang jawatan Timbalan Presiden selepas PRS ditubuhkan. Beliau juga bertanding sejak tahun 2004, namun atas tiket PBDS kemudian menyertai PRS pada tahun yang sama. Kekuatan politik beliau terbukti apabila pernah menang tanpa bertanding dalam PRU.
Kekuatan PRS terletak kepada perpaduan politik yang selama ini mereka pegang secara utuh. Perpaduan politik inilah yang menyebabkan PRS menang kesemua enam kerusi pada PRU pada tahun 2013 ketika parti politik lain di Semenanjung mengalami banyak kekalahan.
Pertembungan kuasa dan persaingan politik dalam kepemimpinan tertinggi parti boleh menyebabkan perpecahan parti. Unsur-unsur sabotaj pasti pada PRU berlaku sekiranya hal ini tidak diselesaikan antara puak Joseph Entulu dan James Masing.
Mungkinkah Joseh Entulu akan bertanding atas tiket PBDS (Baru) jika tidak dicalonkan kepimpinan tertinggi PRS? Kemungkinan boleh menyebabkan kedudukan Selangau sebagai kerusi selamat PRS terjejas.
Masa Depan PRS

Pada persidangan Perwakilan Tri-Tahunan keempat PRS pada tahun lepas, Joseph Entulu menang besar apabila berjaya menewaskan Datuk Joseph Salang Gandum manakala jawatan Presiden parti tidak dipertandingkan.
Ramai yang percaya sekiranya jawatan presiden dipertandingkan, maka Joseph Entulu akan bertanding dan kemungkinan besar boleh menang.
Hal ini kerana kebanyakan yang menang dalam majlis tertinggi dalam PRS pada tahun lepas secara majoriti dimenangi oleh orang kepercayaan Joseph Entulu. Hal ini menjadikan Joseph Entulu dilihat sangat kuat dari segi politik parti.
Hal ini mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa Joseph Entulu ialah pemimpin masa depan PRS sekiranya beliau dapat mempertahankan kerusi parlimennya pada PRU akan datang.
Namun, adakah saingan politiknya membiarkan hal ini akan berlaku? Adakah ini bakal menandakan PRS akan berpecah dan senasib dengan parti yang berorientasikan parti berasaskan parti Dayak seperti PBDS dan SNAP akan berulang? Adakah pisang akan berbuah dua kali?
Kesemua ini ditentukan oleh kepemimpinan dalam PRS itu sendiri, terutama James Masing dan Joseph Entulu!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaya