KUCHING: Mayat seorang lelaki yang rentung dalam kejadian di Jalan Batu Perak, Kota Sentosa pada Selasa lalu masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, hasil bedah siasat pasukan patologi forensik semalam hanya mengesahkan punca kematian mangsa.

“Mangsa mati kerana lemas terhidu asap, dan saluran pernafasannya dipenuhi karbon monoksida.

“Tidak terdapat sebarang kesan perlakuan jenayah pada tubuh mangsa,” tambahnya lagi.

Kata Aidil, pihak patologi juga berjaya mengeluarkan darah mangsa untuk proses analisis DNA, dengan sampel darah bapa, abang dan adik lelaki telah pun diperolehi sebelum itu.

“Oleh kerana identiti mangsa masih gagal dikenal pasti dan tidak sempurna, mayatnya tidak dapat diserahkan pada ahli keluarga sehingga mendapat keputusan DNA.

“Sehingga kini mayat masih dikenali sebagai Mr. X walaupun keluarga memberitahu namanya ialah Apendi,” tambahnya lagi.

Pada Selasa, mayat seorang lelaki yang rentung ditemui dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal yang terbakar seratus peratus.

Mayat tersebut ditemui dalam keadaan tertiarap sekitar jam 12.30 malam oleh pasukan bomba dan penyelamat di bahagian dapur kediaman tersebut. – Sarawakvoice