Wednesday, December 7, 2022

Sambutan Jubli Emas Sultan Brunei dijangka meriah

Secara Rawak

BANDAR SERI BEGAWAN: Perayaan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bermula secara rasminya kelmarin dengan Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Lapau, di ibu negara.

Sultan Hassanal Bolkiah, 71 , Sultan kedua paling lama memerintah di dunia menaiki takhta pada Oktober 1967.

Raja yang paling lama memerintah ketika ini ialah Queen Elizabeth II, yang menaiki takhta  pada 1952.

Brunei diperintah oleh keluarga yang sama selama 600 tahun.

Gambar fail – Foto Youtube

Baginda  yang memerintah negara kecil dengan 400,000 rakyat dikatakan antara orang terkaya di dunia, selain memiliki istana yang mempunyai hampir 1,800 kamar.

Antara pemimpin Asean yang dijangka menghadiri majlis santapan pada Jumaat ialah Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi, pemimpin de facto Myanmar Aung San Sun Kyi, dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, selain keluarga diraja dari Timur Tengah.

Menurut Media Permata, Majlis Istiadat tersebut berlangsung di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Berangkat sama ke majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Kata Media Permata lagi, sejurus disembahkan kehadapan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, Istiadat Gendang Jaga-Jaga didahului oleh Juru Laki Haji Johan Areffen bin Hassan menjunjung anugerah berjalan menuju ke Pataratna dan seterusnya mengangkat dan mengusung Nakara di atas kepalanya.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan berangkat ke Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Lapau, kelmarin. Berangkat sama DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga, kelmarin.

Setelah berada di tempat yang dikhaskan, Nakara mula dititir diikuti dengan gualan Gendang Labek, tiupan Serunai, pukulan Agong dan Chanang dengan diiringi 21 das tembakan meriam oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Polis Tentera ABDB, Leftenan Kolonel Mardini bin Abdul Rahman.

Juru Laki Haji Johan Areffen mengangkat dan mengusung Nakara di atas kepalanya. Nakara mula dititir diikuti dengan gualan Gendang Labek, tiupan Serunai, pukulan Agong dan Chanang.

Selesainya istiadat berkenaan, maka Malam Berjaga-jaga akan dilangsungkan di Istana Nurul Iman sehingga 7 Oktober ini.

Menurut akhbar itu, acara Sambutan Jubli Emas seterusnya akan disemarakkan dengan Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan Doa Kesyukuran di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru