Akhir-akhir ini terdapat banyak kumpulan badan pemikir atau ‘think-tank’ yang menjalankan kajian mengenai sikap pengundi terhadap parti-parti politik menjelang PRU-14. Dan mereka kelihatan berlumba-lumba mengumumkan penemuan kajian mereka kepada orang ramai seolah-olah keputusan PRU-14 sudah pun berada dalam tangan mereka.

Meramal keputusan PRU sebetulnya merupakan satu kerja yang berat dan banyak mengambil masa. Tetapi semua itu tidak menjadi hal kepada tukang ramal tersebut yang sesetengahnya memang telah dikenali juga sebagai tukang hasut.

Pada awal tahun ini misalnya, ada yang meramalkan PAS akan menang besar walaupun PAS bertanding tiga penjuru menentang PH dan BN. Walaupun tarikh PRU-14 belum lagi diumumkan, Parlimen belum lagi dibubarkan, senarai calon bagi parti-parti bertanding belum dimuktamadkan, peramal, penilai dan penelaah sudah mempunyai jawapan sendiri tentang bilangan kerusi yang bakal dimenangi oleh PAS. Hebat bukan!

Kemudiannya muncul sebuah NGO yang kerjanya secara khusus hanyalah membuat bacaan sikap pengundi. Semasa sidang akhbar yang diadakan pada Jun 2017, NGO ini mendedahkan bahawa PH mendapat sokongan pengundi Melayu sebanyak 36 peratus, satu peratus melebihi sokongan kepada BN (35 peratus).

Sementara itu, 14 peratus responden menyatakan akan menyokong PAS dan 15 peratus lagi ialah pengundi  atas pagar.

Dalam sidang media itu juga, pengerusi NGO ini yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik pembangkang membuat rumusan bahawa PAS akan kalah teruk dan PH akan berjaya menubuhkan kerajaan pada peringkat persekutuan selepas PRU14.

Tidak lama selepas itu, badan pemikir yang berpangkalan di sebuah universiti di Selangor ikut sama membuat ramalan. Hasil tinjauan survei mereka yang dilakukan di 130 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung didedahkan kepada pihak media. Kata mereka, sebanyak 59 peratus akan mengundi PH dan PAS jika PRU-14 diadakan dalam masa terdekat.

Ironinya, badan pemikir yang sama mendakwa sebanyak 50 peratus responden belum lagi membuat keputusan untuk memilih mana-mana parti politik. Mereka ini sebenarnya ialah golongan pengundi atas pagar. Ada mengatakan mereka akan buat keputusan selepas hari penamaan calon, seminggu selepas kempen berjalan, dan pada hari mengundi itu sendiri.

Dalam mana-mana PRU, pengundi atas pagar inilah sebenarnya akan menentukan parti mana yang akan menang. Jadi kemahuan dan aspirasi golongan ini perlu menjadi fokus kepada mana-mana parti yang berhasrat untuk menang.

Kajian yang penulis sendiri lakukan menunjukkan golongan atas pagar berbeza saiznya mengikut lokasi seperti bandar dan semibandar. Di kawasan bandar, pengundi atas pagar adalah sekitar 45-56 peratus dan 35-44 peratus bagi semibandar.

Kepada golongan pengundi atas pagar di kawasan bandar, polisi yang spesifik lebih menarik perhatian mereka berbanding dengan ketaasuban terhadap parti. Kepada golongan ini, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kebanjiran pekerja asing merupakan isu utama.

Kepada parti yang mahu menang semasa PRU-14 nanti, kempen yang rasional dan waras harus ditujukan kepada golongan ini.

Untuk meraih undi, janganlah ada lagi parti politik bermain dengan sentimen perkauman dan kewilayahan yang melampau. Memainkan sentimen agama juga amat besar bahananya.

Pengundi atas pagar rata-rata berpendidikan tinggi khususnya di kawasan bandar. Oleh itu, jika mereka menolak parti tertentu, maksudnya polisi yang ditawarkan oleh sesebuah parti itu tidak menarik kepada mereka.

Dalam demokrasi, kalah menang ialah perkara biasa. Pemimpin parti jangan pula mengamalkan sikap sampai marahkan nyamuk kelambu dibakar, usah terjadi kerana pulut santan binasa.

Akhirnya yang membuat keputusan ialah rakyat kita sendiri, merekalah penentu dan raja semasa PRU. Biarlah proses demokrasi kita berlangsung dalam suasana harmoni dan lancar. – Sarawakvoice