Malaysia naik ke tempat 65 kelompok 159 Negara Ekonomi Bebas

0
2

KUALA LUMPUR: Malaysia naik tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-65 dalam senarai 159 negara ekonomi bebas pada 2015 mengikut laporan terbaharu Ekonomi Bebas Dunia 2017 (EFW), berbanding tempat ke-72 pada 2014.

Maklumat pengiraan bagi edisi 2017 itu adalah berdasarkan data indeks yang dikumpulkan pada 2015.

Laporan yang menyenaraikan negara mengikut ketetapan institusi dan dasar negara menggalakkan kebebasan ekonomi, diterbitkan oleh Fraser Institute di Kanada.

Senarai itu juga menunjukkan di peringkat serantau, Malaysia di tempat keempat dalam kelompok negara-negara ASEAN selepas Singapura, Filipina dan Kemboja serta diikuti rapat oleh Indonesia dan Laos di tempat kelima dan keenam.

Dalam satu kenyataan semalam, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata Malaysia mencatat markah keseluruhan 7.19, iaitu peningkatan 0.19 mata bagi tahun ke tahun, didorong oleh penambahbaikan pemarkahan Saiz Kerajaan yang memaparkan skala campur tangan kerajaan dalam negara.

“Unjuran lebih baik itu adalah petunjuk jelas peningkatan rasa kebebasan ekonomi individu yang diberi kepada penduduk,” katanya.

IDEAS berkata Malaysia turut mencatat peningkatan pemarkahan masing-masing dari segi Peraturan dan Akses Kepada Wang.

“Kategori itu diadili dari aspek sejauh mana keberkesanan negara melaksanakan dasar yang boleh menjana inflasi dengan lebih rendah.

‘Peningkatan pemarkahan Peraturan Malaysia itu juga membuktikan usaha mempermudahkan sekatan perniagaan,” katanya.

Menurut IDEAS, markah Malaysia dalam komponen utama EFW (mengikut kategori) adalah Saiz Kerajaan yang meningkat kepada 6.93 daripada 6.63; Sistem Perundangan dan Hak Harta (susut kepada 5.76 daripada 5.87); Akses Kepada Wang (naik kepada 7.01 berbanding 6.85); Kebebasan Perdagangan di Peringkat Antarabangsa (merosot kepada 7.51 daripada 7.56) serta Peraturan Kredit, Buruh dan Perniagaan (menokok kepada 8.72 daripada 8.62 ). – Bernama