Wednesday, August 17, 2022

Lelaki didakwa beri rasuah kepada penjawat awam

Secara Rawak

IPOH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas  dua pertuduhan iaitu menawar dan memberi suapan kepada seorang penjawat awam tahun lepas.

Lee Kee Heong, 63 membuat pengakuan itu di hadapan hakim S. Indra Nehru selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Untuk pertuduhan pertama, dia didakwa menawarkan suapan RM2,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen Perak Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan warga Pakistan Qaiser Iftikhar kerana berada di Malaysia setelah tamat tempoh pas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Bandar Baru Seri Klebang di sini, kira-kira 6.07 petang, 17 Ogos 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi suapan RM1,000 kepada pegawai imigresen itu sebagai dorongan tersebut di Restoran McDonald’s Bandar Meru Raya di sini, kira-kira 6.30 petang, 18 Ogos 2016.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000,  mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktokber ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM  R Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam Chiang Mei Wan. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru