SIBU: Tiga lelaki bernama Ahmad terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan Atlanta Automobile Sdn. Bhd., Jalan Tun Abang Haji Openg di sini malam tadi yang mengorbankan salah seorang daripada mereka.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.44 malam dan tiba di lokasi dalam tempoh kurang dua minit, dengan kekuatan sebuah jentera Scania, ambulans EMRS dan pacuan empat roda serta 10 anggota.
“Komander operasi kemudian melaporkan kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu jenis Proton Saga Flx, Hilux dan Proton Persona.
“Tinjauan awal mendapati tiga mangsa lelaki tersepit dan ketiga-tiganya adalah dari kenderaan Proton Saga Flx.
Pihak bomba kata Ling Hii, kemudian mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pasukan paramedik.
Dengan menggunakan ambulans hospital, ambulans EMRS dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu.
Penumpang di bahagian hadapan Proton Flx, yang maut di lokasi kejadian kemudian dikenal pasti sebagai Ahmad Rasif, manakala dua yang lain iaitu pemandu, Ahmad Termizi dan penumpang belakang, Muhammad Azzuddin Hassan cedera.
Turut cedera, pemandu Toyota Hilux yang dikenal pasti sebagai Ahmad Nisfu Tambi. – Sarawakvoice