KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian pasti menarik nafas lega selepas diberi “lampu hijau” untuk parti itu bertanding di kesemua tujuh kerusi yang secara tradisi miliknya.

Kerusi-kerusi itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, parti tertua Sarawak itu kalah di semua kerusi Cina, dan hanya menang di satu kerusi, iaitu Serian, sekali gus mengangkat Datuk Seri Richard Riot daripada ahli parlimen biasa kepada taraf menteri penuh.

“Pada mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi BN Pusat pada 8 September lalu, formula pembahagian kerusi kekal.

“Pengerusi BN Pusat (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberi jaminan bahawa semua kerusi tradisi kekal,” katanya ketika ditemui semalam.

Pimpinan BN Negeri sebelum ini yakin akan dapat menambah empat lagi kerusi untuk parti itu, sekali gus menafikan keupayaan pembangkang menawan empat kerusi mereka.

“Kita (SUPP) sedar bahawa mereka (pimpinan BN Negeri) merujuk kepada kita (SUPP) berdasarkan prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, enam adalah milik pembangkang. – Sarawakvoice