Monday, November 28, 2022

Bangunan universiti seperti jamban raksasa!

Secara Rawak

BEIJING: Warga net di media sosial mempertikaikan struktur binaan 12 tingkat di Universiti Teknologi Sumber Air dan Kuasa Elektrik China Utara di Zhengzhou, wilayah Henan kerana reka bentuknya didakwa kelihatan seperti tandas raksasa.

Netizen membuat lelucon mengatakan reka bentuk bangunan hadapan kelihatan macam mangkuk jamban, manakala belakangnya seperti tangki tandas curah.

Sementara, bahagian bumbung di blok pusat pengajian tersebut dikatakan mirip tudung tandas.

Menurut South China Morning Post, bangunan berharga 86 juta yuan (RM54.7 juta) yang dibuka tahun lalu itu dibina untuk menampung graduan kolej memulakan perniagaan mereka sendiri.

Sementara, portal shanghaiist.com memetik Sina melaporkan, bangunan terletak di kampus Longzihu itu mungkin disengajakan dari segi reka bentuknya, sesuai dengan tema universiti berkenaan berkaitan teknologi sumber air dan kuasa elektrik.

“Dari sudut fengshui, reka bentuk sangat baik, kita perlu memberi sedikit masa,” kata seorang netizen yang berwawasan.

“Ya, sudah pasti tandas!” komen seorang lagi netizen.

“Arkitek sebenarnya mempunyai rasa humor,” kata netizen lain.

China secara rasmi mengharamkan reka bentuk bangunan “pelik” didirikan di negara tersebut pada Februari, masih terdapat banyak seni bina “unik” yang dapat ditemui di seluruh China. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru