KUCHING: Di sebalik hasrat Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk bertanding di beberapa kerusi majoriti Cina di bandar, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yakin akan diberi peluang untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Keyakinan itu bukan menghairankan kerana bersandarkan keputusan Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang bermesyuarat awal September lalu, formula agihan kerusi kepada parti komponen BN tidak berubah.

Kata Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian,  berkata, menurut Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Razak: “Semua kerusi secara tradisi ditandingi sesebuah parti komponen kekal.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita di satu majlis di sini, semalam.

Pada PRU lalu parti tertua Sarawak yang ditubuhkan pada 1959 itu bertanding di tujuh kerusi.

Namun ia kalah di enam kerusi majoriti Cina di bandar,  iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

SUPP hanya menang di Serian, kerusi majoriti Bidayuh, melalui Datuk Seri Richard Riot.

Semua kerusi berkenaan secara tradisi ditandingi SUPP.

Keupayaan SUPP untuk merampas balik kerusi majoriti Cina, antaranya mengikut penganalisis politik, bergantung kepada tiadanya perebutan kerusi dengan UPP, selain calon yang mampu menang dan disenangi rakyat.

Berdasarkan pola pengundian di kerusi di bawah Parlimen terbabit, SUPP mampu menang di empat kerusi — Stampin, Sarikei, Sibu dan Miri.

Namun, kata penganalisis, itu hanya di atas kertas, kerana pilihan raya umum tidak sama dengan pilihan raya negeri. – Sarawakvoice