Friday, October 7, 2022

Pembalak haram guna taktik komunis, tumbang pokok halang serbuan di Ulu Kapit

Secara Rawak

KUCHING: “Umpama taktik komunis. Mereka tumbangkan pokok di tengah jalan untuk lambatkan pergerakan kami.

“Bukan sekali, tetapi tiga kali,” kata Ketua Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Sallehuddin Mat Zaman mengulas taktik terbaharu pembalak haram menghalang pasukannya daripada menjejak dan menyerbu pusat pengumpulan balak haram pada Jumaat.

Namun halangan itu katanya, tidak mematah semangat anak-anak buahnya dan kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Gambar hiasan

“Dengan menggunakan teknologi dron dan risikan pantas, kami akhirnya tiba di lokasi logpond atau tasik balak di Nanga Maramah, Batang Balleh di Ulu Kapit  sekitar jam 12.15 tengah hari.

“Meski serbuan ini bocor dan lanun rimba ini sempat melarikan diri dengan aset-aset jenteranya, namun pasukan kita berjaya menyelamatkan 469 batang balak pelbagai jenis termasuk meranti, kapur dan jelutong daripada dicuri.

“Siasatan awal kita mendapati, balak-balak ini seberat 700 meter kubik dan ditebang secara haram, sebelum dikumpulkan ke dalam tasik balak berkenaan,” katanya lagi.

Kesemua kayu ini jelasnya, tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak dan nilai pasarannya dianggarkan RM535 ribu.

“Ini rampasan balak terbesar kami pada tahun ini. Dan usaha ini amat berbaloi,” tegasnya lagi dalam sidang media di sini.

Ia merupakan siri operasi khas Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilakukan dengan kerjasama SFC.

Kata Sallehuddin, pihaknya percaya kerja-kerja halangan ini dilakukan oleh tonto-tonto yang diupah lanun rimba ini.

“Akibatnya, kita terpaksa membuang masa di antara dua ke tiga jam untuk membersihkan laluan, sebelum meneruskan perjalanan.

Kes katanya, disiasat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 1958 dan semua balak rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Sibu untuk tindakan lanjut.

Secara keseluruhan katanya, ini kes ke-29 di bawah ordinan tersebut yang berjaya direkodkan pada tahun ini dan ia menyamai jumlah yang sama untuk sepanjang tahun lalu.

“Masih ada tiga bulan lagi dan kita optimis akan lebih banyak tangkapan selepas ini.

“Daripada keseluruhan 29 kes, pasukan kita telah menyelamatkan balak dengan nilai pasaran RM6.7 juta.

“Cuma kali ini, gerak kerja mereka (pembalak haram) ini agak berbeza,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru