Kejutan yang bukan kejutan di Fastaqim 2.0 Pas

KUALA TERENGGANU: Bagi yang tidak mesra Pas, tertanya-tanya, apakah yang dianggap kejutan tetapi tidak menjadi kejutan pada Sabtu malam yang dijanji diumumkan pada Himpunan Fastaqim 2.0 (H200K)

Tiga nama, Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas menteri besar Selangor yang turut berucap malam mengaku tidak menyertai Pas meskipun hadir pada malam tersebut.

Dua lagi tokoh yang turut hadir, Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Zakaria Jaafar dan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud yang muncul memberi sokongan di pentas Fastaqim 2.0 turut mengaku tidak menjadi ahli Pas.

Sebelum in, Ketua Penerangan Pas Nasarudin Hassan mendakwa berlaku kejutan besar pada Malam kemuncak 30 September.

Sementara, mereka yang tidak mesra Pas turut melihat dengan sinis, apabila malam Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada Jumaat malam diganggu dentuman kuat guruh berserta hujan lebat.

Secara kebetulan, bekalan elektrik pula turut terputus ketika Ketua Penerangan Pas Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berucap sekitar 10.50 malam.

Exco kerajaan Kelantan itu dilaporkan menjawab dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berhubung kerjasama Pas-BN.

Ketika itu, angin kencang bertiup bersama hujan serta kilat sebelum bekalan elektrik terputus selepas berlaku dentuman guruh yang kuat.

Sementara, yang tidak mesra Pas turut mendakwa Fastaqim 2.0 turut terdesak membawa ramai kanak-kanak menghadiri program tersebut demi mencapai sasaran 200,000 peserta.

Hal ini dapat dlihat melalui foto yang diposkan di media dan laman sosial penyokong Pas.

Apapun dengan semangat yang kental, Pas  mengumumkan bahawa jentera pilihan raya Pas tidak akan membantu jentera pilihan raya parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) kali ini.

Menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, jentera Pas akan memberi sepenuh komitmen terhadap parti sendiri bagi menjamin kemenangan Pas pada PRU14.

Bercakap pada selepas pelancaran jentera pilihan raya Pas Dewan pada perhimpunan Fastaqim 2.0, beliau berkata, bagaimanapun Pas akan membantu Gagasan Sejahtera pada PRU14.

Sementara, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Awang berkata, kali ini pada PRU14, Pas sedia bertanding sebanyak-banyaknya kerusi yang diinginkan.

Beliau berkata, kehadiran ratusan ribu pada perhimpunan Fastaqim 2.0 membuktikan masa depan Pas sangat cerah. – Sarawakvoice