Monday, June 27, 2022

Juadah tradisi Vaie antara makanan popular Bintulu, mampu tarik perhatian pelancong

Secara Rawak

BINTULU: Merasmikan Paruk Vaie atau Dapur Bintulu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu Bintulu menonjolkan produk makanan tradisinya sendiri kepada pelancong.

Pada acara sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) Ke-13 bertempat di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu itu, Karim berkata Kuching terkenal dengan mi kolok dan laksa Sarawak, Sibu dengan kampua dan pulut panggang, maka Bintulu perlu menonjolkan makanan popularnya sendiri.

Karim memuji usaha penganjur dan usahawan termasuk Badan Warisan Sejarah dan Kebudayaan Vaie Bintulu (BAWARIS) serta Persatuan Penjaja Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS) di Bintulu yang berjaya mengatur program merancakkan pelancongan di Bintulu.

Gambar fail

Bagi beliau, menonjolkan makanan tradisi masyarakat Vaie di Bintulu merupakan satu nilai tambah kepada produk makanan ada di situ.

Selain menonjolkan keindahan tepi laut dan alam, Kementerian Pelancongan menggalak sesebuah destinasi di negeri ini menonjolkan produk makanan tradisi sendiri bagi merancakkan industri pelancongan.

Menurut Karim, salah satu tarikan yang menarik minat pelancongan kini ialah mengetahui dan merasai makanan popular di destinasi yang dikunjungi.

Bandar Bintulu yang mempunyai 100,000 penduduk ke arah penarafan bandar raya, kini menjadi salah satu tumpuan utama pelancong di negeri ini.

Pada masa depan Bintulu dirancang, sedia untuk dihubungkan dengan rangkaian perhubungan dengan Singapura dan China sama ada melalui rangkaian Kuching-Bintulu, Bintulu-Miri dan Bintulu-Kota Kinabalu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru