Monday, January 24, 2022

Pemangsa sumbang mahram maut teguk racun sebelum sempat dicekup polis di Sri Aman

Secara Rawak

SRI AMAN: Bimbang dicekup polis selepas perbuatannya memperkosa cucu tirinya terbongkar,  seorang lelaki berusia 54 tahun bertindak membunuh diri malam tadi, dengan meneguk racun perosak.

Suspek ditemui dalam keadaan terbaring,  tidak sedarkan diri, dengan mulutnya berbuih oleh sepasukan anggota siasatan jenayah Sri Aman yang menyerbu pondok rehat suspek di  sawah miliknya di Sembayang di sini, sekitar jam 11 malam tadi.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri,  Datuk Dev Kumar berkata,  suspek kemudian dikejarkan Hospital Sri Aman untuk rawatan kecemasan,  namun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5 pagi tadi,  sebelum sempat dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Suspek sebelum itu diburu berhubung satu kes sumbang mahram melibatkan cucu tirinya yang berusia 14 tahun hingga mengandung lima minggu.

Akibat perbuatan tersebut, mangsa mengalami trauma sehingga cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 21 September lalu.

Mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan dan dimasukkan ke wad Hospital Sri Aman kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap mangsa turut mendapati dia mengandung, namun enggan mendedahkan siapa lelaki yang bertanggungjawab.

Pada Rabu, kata Dev, ketika menjalani sesi kaunseling bersama pekerja kesihatan sosial di hospital berkenaan, mangsa mendedahkan bahawa dia telah menjadi mangsa perkosa oleh datuk tirinya pada Ogos lalu.

“Susulan pengakuan tersebut, pekerja sosial terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Aman,  dan siasatan segera pantas dilakukan.

“Siasatan awal kemudian mendedahkan bahawa kejadian malang itu berlaku pada awal Ogos lalu apabila suspek menjemput mangsa pulang dari asrama untuk bercuti hujung minggu.

“Suspek bagaimanapun tidak membawa mangsa pulang ke rumah, sebaliknya melencong ke satu pondok di kawasan ladang kelapa sawit sebelum memperkosanya.

“Suspek mengulangi perbuatannya seminggu kemudian,  kali ini lebih berani di rumah panjang keluarganya di Sembayang.

“Mangsa diperkosa di ruang tamu ketika semua ahli keluarga lain sedang lena tidur.

Keterangan ini membolehkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, yang membawa kepada usaha menahan suspek malam tadi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru