BEIJING: CNN melaporkan dalam perkembangan terbaru Korea Utara mengerah sejumlah pesawat tentera ke sekitar pantai timur.

Badan Perisik Korea Selatan mendapati Pyongyang melakukan pergerakan tersebut selepas pesawat pengebom dan sejumlah jet tempur AS terbang di wilayah ruang udara antarabangsa minggu lepas.

Sementara, berkaitan isu perang yang dimainkan Korea Utara dan AS, China memperingatkan tidak ada pihak yang akan menang seandainya berlaku pertempuran di Semenanjung Korea itu.

China, sebagai sekutu terdekat Korea Utara mendesak dialog dan rundingan damai diadakan bagi menyelesaikan krisis tersebut.

“Tidak akan ada pemenang jika perang terjadi di Semenanjung Korea. Perang hanya akan berdampak lebih buruk bagi kawasan dan negara di sekitarnya,” ucap jurucakap Menteri Luar China, Lu Kang pada Selasa.

Beijing meminta kedua-dua pihak menahan diri dan menghentikan retorik serta provokasi yang hanya akan mengeruhkan suasana.

Sebelum ini, Menteri Luar Korea Utara Ri Yong-ho sensitif dengan provokasi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengatakan jika Korea Utara “terus mengeluarkan ancaman, maka pemerintah Korea Utara tidak akan ‘bertahan lama’”.

Kenyataan tersebut ditafsirkan oleh Ri sebagai “kenyataan perang” oleh AS dan beliau mengambil serius ancaman berkenaan.

Ri bertindak balas mengatakan tentera Korea Utara berhak menembak jatuh pesawat pengebom AS.

Bercakap di New York, Ri mengatakan tentera Korea Utara boleh menembak jatuh pesawat AS meskipun ia berada di luar wilayah udara Korea Utara.

Ri menuduh Washington sebagai pertama kali isytiharkan perang terhadap mereka.

Sementara, jurucakap Rumah Putih, Sarah Huckabee berpendapat kenyataan Ri bersifat “absurd” dan menambah bahawa Trump tidak mengumumkan perang terhadap Korea Utara.

Dalam ucapan di majlis PBB sebelum ini, Trump pernah mengancam akan menghancurkan Korea Utara dan menyebut Kim Jong-un sebagai “orang  roket gila” yang sedang bunuh diri dengan terus melancarkan provokasinya.

Pemimpin Korea Utara itu turut bertindak balas menyebut Trump sebagai “orang tua gila.”

Korea Utara juga memperingatkan AS akan membayar segala ancamannya kepada “dengan harga yang mahal.”